9 cara mudah gagal temuduga kerja
Biasanya kita akan memperkatakan tentang kaedah untuk lulus dengan cemerlang dalam sesi temuduga kerja. Baik kerja kerajaan atau swasta, temuduga kerja di antara kedua-duanya tidak mempunyai banyak perbezaan. Kali ini kita akan perhatikan 9 cara mudah gagal temuduga kerja. Bukan kerana kita mahukan kegagalan namun kita mahu elakkan 9 perkara ini daripada berlaku. Boleh jadi kita lupa 9 perkara ini hingga kita terbawa-bawa ke dalam sesi temuduga.
1. Tidak serius semasa temuduga. Apa yang dikatakan serius dalam temuduga ialah anda hadir dengan persediaan yang rapi dan penampilan yang menepati keperluan sebagai seorang bakal pekerja. Anda bersedia dengan segala maklumat yang berkaitan dengan diri anda dan maklumat yang berkaitan dengan kerja yang diperlukan.
2. Masuk ke bilik temuduga bukan sepenuh hati. Dengan sikap yang tidak yakin, anda masuk ke bilik temuduga dengan goyah. Tanpa sebarang persediaan maklumat, anda masuk begitu sahaja tanpa menunjukkan sebarang kesungguhan. Mimik muka anda juga tergambar rasa hambar atau lebih tepat lagi muka yang tiada perasaan.
3. Tidak menghulurkan resume pada penemuduga. Semasa anda diminta untuk memberikan fail yang mengandungi resume anda, lihat bagaimana kedudukan tangan penemuduga. jika tangannya sedang menadah fail anda, terus hulurkan pada beliau. Usah letakkan di atas meja penemuduga. Mengapa? Ia adalah tindakan yang tidak beradab. Lain yang disuruh, lain yang dibuat.
4. Duduk tanpa dipersilakan. Selepas masuk ke bilik temuduga, tunggu arahan selanjutnya dari panel. Jangan duduk sehingga diberitahu. Adab anda mencerminkan diri anda. Ibarat berkunjung ke rumah orang, masuk setelah dijemput atau diberikan izin.
5. Pegang beg tangan semasa ditemuduga. Mengapa pegang beg tangan semasa temuduga sedang berlangsung? Atau tangan anda memeluk tubuh? Anda tidak ada apa-apa kesalahan dengan penemuduga. Jika anda berbuat demikian, anda memperlihatkan bahawa anda sedang gugup dalam temuduga. Bila anda gugup, keyakinan anda akan hilang lalu jawapan anda akan menjadi kelam kabut.
6. Bermain dengan pen ketika ditemuduga. Ini satu lagi contoh yang tidak baik. Ketika penemuduga bertanyakan soalan, dengar baik-baik, perhatikan dengan tenang supaya anda fokus dan dapat menjawab soalan dengan baik. Boleh dikatakan biadap apabila anda menjawab soalan dengan tidak menumpukan pada penemuduga.
7. Tidak bertegur sapa semasa rehat. Bukan satu kemestian untuk bertegur sapa dengan penemuduga semasa rehat. Namun sekurang-kurangnya anda telah memberi peluang kepada diri anda untuk memberanikan diri berkenalan dengan penemuduga. Bukankah ini bakal membuka mata penemuduga bahawa anda seorang yang mudah bergaul?
8. Tak tahu nama Sultan, Permaisuri dan Menteri Besar serta lagu negeri. Anda sebagai seorang rakyat Malaysia harus tahu siapa nama pemerintah negeri dan peneraju kemajuan negeri anda. Tunjukkan anda seorang yang berpengetahuan luas dengan maklumat negeri anda.
9. Tidak tahu nama Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Ini lebih parah jika anda tak tahu. Dua individu ini lebih popular dari mana-mana artis di Malaysia. Mustahil jika anda tak tahu kerana mereka kerap keluar di media massa setiap hari.
Kesimpulan
Apa akibatnya jika anda memiliki 9 perkara di atas? Barangkali anda disisihkan oleh penemuduga kurang daripada 1 minit sekaligus menggagalkan peluang anda untuk diterima bekerja. Jadi usah ambil remeh dengan setiap temuduga kerja yang anda hadiri. Elakkan daripada melakukan 9 perkara ini dan ambil langkah untuk memperbaikinya dengan segera.
Oleh itu, anda harus mendapatkan ebook Rahsia Lulus Temuduga Kerja Kerajaan untuk melengkapkan persediaan temuduga anda hari ini juga.
Leave a Reply