Cara terbaik memberi pinjaman wang
Kadang kala semasa sahabat atau ahli keluarga anda berhadapan dengan masalah kewangan. Mereka datang mencari anda untuk mendapatkan pertolongan. Anda pasti akan berikhtiar untuk membantu walau pun bukan sepenuhnya. Cara terbaik memberi pinjaman wang diperlukan supaya kedua-dua pihak mempunyai rekod pinjaman yang telah dipersetujui bersama.
Langkah memberi pinjaman wang
Minta si peminjam mencagarkan sesuatu sebagai jaminan. Jika mereka nak pinjam RM1,000 anda perlu minta sesuatu barang yang lebih bernilai dari RM1,000. Barang tersebut akan dipulangkan selepas wang yang dipinjam selesai dibayar. Selagi wang pinjaman tidak dibayar, maka anda pegang cagaran tersebut sampailah si peminjam membuat bayaran semula hutang anda.
Selain itu, tulis perjanjian hutang dengan memasukkan jumlah pinjaman dan syarat bayaran. Pastikan penghutang membayar setiap akhir bulan setelah mereka menerima gaji. Jangan biarkan pinjaman anda hanya sekadar dibibir sahaja. Bukti bertulis ini adalah lambang kesungguhan anda untuk mendapatkan balik wang yang dipinjamkan dan sebagai peringatan kepada peminjam.
Kenapa nak berhutang?
Anda sebagai pemiutang wajib tahu apa tujuan penghutang meminjam dari anda. Jika tujuan penghutang sekadar mahu menambah aksesori kereta supaya kelihatan lebih cantik, maka anda tidak perlu memberi pinjam wang kerana ia bukanlah sesuatu yang penting. Anda berhak tahu kerana di masa hadapan mungkin anda lebih memerlukan wang tersebut.
Perkara yang paling penting ialah anda tak perlu pinjamkan sejumlah wang yang anda sendiri tidak mampu sediakan. Usaha anda untuk bekerja dan menyimpan wang bukanlah sesuatu yang mudah. Jangan kerana kasihan, anda terseksa sehingga kekeringan wang dan terpaksa mengikat perut untuk berjimat cermat. Fikir dahulu sebelum memberi pinjam wang.
Nilaikan kemampuan kewangan sendiri
Jika anda tidak mampu memberi pinjam wang, cadangkan kepada sahabat atau ahli keluarga kepada institusi kewangan yang menyediakan perkhidmatan tersebut. Jika mereka sendiri berkata tidak mampu membayar dengan institusi tersebut, bagaimana pula mereka hendak membayar hutang anda? Di sini anda sudah boleh menilai bagaimana kekuatan kewangan mereka.
rahimah says
Saya selalu sambil senyum cakap dengan orang nak pinjam duit supaya bagi emas dia kat saya sebagai collateral. Bila cakap macam tu semua tak jadi. So selamat dari di pinjam. Susah nak dapat duit balik selalunya dan bila kita nak pakaiduit macam kita pulak yang meminjam.