Percaya atau tidak, jika anda perhatikan menggunakan perspektif lain daripada kebanyakan orang melihat, resume adalah satu senarai menu jualan yang mengandungi maklumat anda untuk dijual kepada bakal majikan. Ini senarionya, apabila anda lapar…perkara yang anda fikirkan adalah menu apa yang anda ingin makan pada hari itu. Anda menghampiri restoran untuk dapatkan makanan.
Setelah duduk seketika, seorang pelayan datang dengan menu ditangan, menu yang penuh dengan senarai makanan. Anda mempunyai selera anda tersendiri. Oleh itu, menu yang anda pilih juga adalah berpadanan dengan selera anda. Anda bertindak sebagai majikan. Menu makanan di setiap kedai merupakan calon yang memohon pekerjaan di syarikat anda.
Begitu juga bagi anda yang ingin memohon pekerjaan. Apa yang berlaku, majikan mempunyai spek atau kriteria tertentu yang mereka telah tetapkan mengikut keperluan mereka. Oleh itu, jumlah resume yang mereka terima merupakan senarai menu yang pelbagai. Ada yang menepati selera mereka, ada yang tidak menepati. Mereka mengiklankan kriteria calon dan jawatan kosong yang mereka perlukan untuk sama-sama berkhidmat dengan syarikat mereka.
Justeru itu, dengan mengetahui kriteria yang bakal majikan tetapkan, kelulusan apa yang mereka mahukan, skill atau kemahiran yang mereka perlukan, anda berpotensi dipilih kerana ia menepati selera mereka untuk memilih anda bekerja. Namun, menu yang menepati sahaja tidak mencukupi jika hiasan kurang menarik atau masakan kurang lazat. Persaingan antara calon yang terpilih juga timbul jika mempunyai kriteria yang sama. Di sini bakal berlaku pemilihan yang lebih mendalam lagi.
Menu yang sama, rasa lain-lain. Oleh itu, masakan yang sedap dan hiasan yang cantik bakal dipilih sebagai calon akhir mereka bagi diterima menjawat jawatan yang pihak syarikat tawarkan. Calon yang mempunyai kehebatan yang sama daripada segi pendidikan, kelulusan bakal dinilai dengan lebih terperinci daripada segi gaya pertuturan, kemahiran berfikir dalam tekanan, bahasa badan, reaksi muka dan sebagainya lagi.
Sebagai calon yang ingin mencari pekerjaan pertama atau mencari pekerjaan lain daripada pekerjaan sebelum ini, penyediaan resume yang menarik perhatian bakal majikan perlu dititikberatkan. Menangi hati mereka pada peringkat permulaan mereka melihat resume anda (first impression) hinggalah mereka berminat untuk menjemput anda datang ke sesi temuduga bersama anda kelak.
Jadilah menu yang menepati selera bakal majikan anda, mempunyai hiasan yang cantik dan rasa yang sangat sedap berbanding menu lain. Terdapat ramai calon di luar sana tidak dapat maju ke peringkat temuduga disebabkan penulisan resume yang tidak menarik minat bakal majikan untuk dibaca. Jika resume tidak dibaca, bagaimanakah anda boleh dipanggil ke peringkat seterusnya?
“Menangi pertandingan pertama, kemudian pertandingan berikutnya akan datang menjemput anda”
Leave a Reply