Cara mudah didik keluarga mengenai wang
Dalam bahtera rumah tangga, soal kewangan bakal menjadi nadi kepada kekuatan atau kelemahan hala tuju keluarga tersebut. Ibu bapa dan anak-anak wajar mempunyai ilmu kewangan supaya perbelanjaan dapat diurus dan ditadbir dengan baik. Cara mudah didik keluarga mengenai wang perlu ditumpukan sepanjang perjalanan hidup supaya dapat mengelakkan kepincangan di kemudian hari.
Pendidikan ilmu kewangan ini harus dibincangkan dengan secara berhemah bermula dari ibu bapa dan anak-anak. Didik anak ilmu kewangan sejak mereka kecil dengan memulakan tabungan di rumah. Simpan lebihan wang syiling di dalam tabung. Ini boleh dimulakan dengan ibu bapa yang memberi syiling setiap kali pulang ke rumah. Kemudian minta anak masukkan syiling tersebut dalam tabung.
Jadikan sikap menyimpan tersebut sebagai satu tabiat. Apabila anak itu mulai dewasa, didik mereka dengan memberi belanja mingguan apabila disuruh mencuci kereta, mengemaskan rumah dan mencuci bilik air. Wang tersebut bukan sebagai upah semata-mata tapi sebagai ganjaran. Dengan cara ini anak-anak akan menghargai susah payah untuk mendapatkan wang dan tidak akan meminta begitu sahaja.
Ibu bapa yang bijak mendidik
Ada sebahagian anak yang gemar meminta gajet atau alat permainan yang mahal dari sepasang ibu bapa. Ibu dapa tersebut mengenakan syarat supaya anaknya membuat kerja di rumah sebagai jalan untuk mengumpul dana. Selepas sejumlah wang yang diinginkan terkumpul, anak itu berasa sayang untuk menggunakan wang tersebut kerana ia adalah simpanan dari titik peluh beliau.
Sekiranya hanya salah seorang dari ibu bapa atau anak sahaja yang mengambil tahu soal ilmu kewangan, ia tidak akan mendatangkan hasil yang cemerlang. Semua ahli keluarga harus memainkan peranan. Jika ada rancangan untuk bercuti yang melibatkan seluruh ahli keluarga, rancang aktiviti keluarga anda dengan memanggil kesemua ahli supaya perbincangan berjalan dengan baik dan lancar.
Ibu bapa guru kewangan anak-anak
Rancangan untuk bercuti mestilah dalam bajet yang rendah dan minima. Pilih lokasi untuk bercuti yang dekat supaya anda dapat manfaatkan lebihan bajet bercuti kepada perkara-perkara yang lebih penting. Selarikan matlamat kewangan di antara ibu bapa dan anak-anak supaya masing-masing berasa dihargai dan dikasihi. Tidak adil jika hanya ibu sahaja atau bapa sahaja yang menguruskan soal kewangan.
Beri ruang untuk anda memantau pergerakan kewangan keluarga sekurang-kurangnya seminggu sekali. Ini penting untuk anda melihat bagaimana corak perbelanjaan anak-anak anda. Sebahagian besar punca kepincangan keluarga datang dari pengurusan kewangan yang tidak teratur dan kacau bilau. Oleh itu cegah sebelum kewangan membarah dengan lebih teruk.
rahimah says
Salah seorang anak saya akan buat beberapa kerja macam kilatkan kasut, sapu sampah, gosok baju. Bila dah selesai dia akan bagi bil pada saya untuk claim upah. Ha ha..anak macam ni pun ada.