Gred Kerja Kerajaan Terkini SSPA: Gred 41 Sekarang Jadi Gred Apa?

Nota Kemaskini 2026: Artikel ini telah dikemaskini selaras dengan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA). Istilah lama seperti Gred 19, Gred 29 dan Gred 41 masih kerap dicari calon, tetapi rujukan terkini banyak menggunakan gred baharu seperti Gred 1, Gred 5 dan Gred 9. Secara umum, Gred 41 kini menjadi Gred 9, bukan Gred 7.

Gred kerja kerajaan terkini ini penting jika anda berniat untuk memohon pekerjaan di sektor kerajaan, adalah penting untuk anda memahami sistem gred jawatan yang digunakan. Sistem gred ini menentukan tahap klasifikasi, tanggungjawab, dan imbuhan bagi setiap jawatan dalam perkhidmatan awam.

Ramai calon kerja kerajaan masih keliru.

Dulu biasa nampak jawatan seperti Gred 19, Gred 29 dan Gred 41.

Sekarang tiba-tiba keluar pula istilah baharu seperti Gred 1, Gred 5, Gred 7, Gred 9, N9, M9, KP9, WK9, FA5 dan sebagainya.

Jadi tidak hairanlah ramai calon mula bertanya:

“Gred 41 sekarang jadi gred berapa?”

“Gred 41 jadi Gred 7 ke?”

“Kalau saya ada ijazah, saya patut mohon Gred 7 atau Gred 9?”

Jawapan ringkasnya begini:

Gred 41 secara umumnya kini menjadi Gred 9 di bawah SSPA. Bukan Gred 7.

Ini perkara penting yang calon perlu faham supaya tidak tersalah pilih jawatan, tersalah baca iklan SPA atau tersilap faham maklumat lama yang masih berlegar di Google dan media sosial.

Jawapan Pantas: Gred 41 Jadi Gred Berapa?

Gred 41 lama secara umumnya kini bersamaan dengan Gred 9 dalam sistem gred kerja kerajaan terkini SSPA.

Maksudnya, jika dulu calon ijazah biasa nampak jawatan seperti:

  • Pegawai Tadbir Gred N41
  • Pegawai Tadbir dan Diplomatik Gred M41
  • Pegawai Penguat Kuasa Gred KP41
  • Pegawai Teknologi Maklumat Gred F41
  • Pegawai Pertanian Gred G41
  • Penguasa Kastam Gred WK41

Sekarang jawatan setara biasanya dipaparkan sebagai:

Jadi, jangan keliru.

Gred 41 bukan jadi Gred 7.

Gred 41 secara umumnya menjadi Gred 9.

Kenapa Gred Kerja Kerajaan Berubah?

Perubahan ini berlaku selepas pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Dalam bahasa mudah, SSPA ialah sistem baharu yang menyusun semula beberapa perkara dalam perkhidmatan awam, termasuk:

  • penyeragaman gred jawatan
  • penggelaran semula gred
  • struktur skim perkhidmatan
  • laluan kerjaya
  • pemetaan gred lama kepada gred baharu

Sebab itu, calon yang mahu memohon kerja kerajaan tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada istilah lama seperti Gred 19, Gred 29 dan Gred 41. Kena semak gred kerja kerajaan terkini yang dikemaskini.

Istilah lama itu masih berguna untuk faham sejarah dan perbandingan. Tetapi untuk permohonan terkini, calon perlu mula membiasakan diri dengan gred baharu seperti Gred 1, Gred 5 dan Gred 9.

Ringkasan Paling Mudah: SPM, Diploma dan Ijazah

Untuk calon yang baru mahu faham, ingat formula asas ini dahulu:

Kelayakan CalonGred Baharu Yang Biasa Dilihat
SPM / SVM / setarafGred 1
STPM / Diploma / STAM / Matrikulasi / setarafGred 5
Ijazah Sarjana Muda / Sarjana / PhDGred 9

Formula ini bukan bermaksud semua jawatan sama. Setiap jawatan tetap ada syarat lantikan tersendiri.

Tetapi sebagai panduan awal, inilah cara paling mudah untuk calon faham perubahan gred kerja kerajaan terkini SSPA.

gred lama vs gred baharu SSPA yang menunjukkan Gred 19 menjadi Gred 1, Gred 29 menjadi Gred 5, Gred 38 menjadi Gred 7 dan Gred 41 menjadi Gred 9
Ringkasan pemetaan gred lama kepada gred baharu selepas SSPA. Paling penting, Gred 41 kini menjadi Gred 9, bukan Gred 7.

Jadual Gred Lama dan Gred Baharu SSPA

Berikut ialah jadual ringkas yang sering dicari calon:

Gred LamaGred Baharu SSPAMaksud Umum
Gred 19Gred 1Laluan SPM / SVM / setaraf
Gred 29Gred 5Laluan STPM / Diploma / setaraf
Gred 38Gred 7Laluan kenaikan atau pergerakan tertentu bagi skim Diploma/STPM
Gred 41Gred 9Laluan Ijazah Sarjana Muda
Gred 44Gred 10Kenaikan pangkat selepas Gred 9
Gred 48Gred 12Kenaikan pangkat
Gred 52Gred 13Kenaikan pangkat
Gred 54Gred 14Kenaikan pangkat

Perkara paling penting dalam jadual ini ialah:

Gred 41 = Gred 9

Bukan Gred 7.

Kenapa Ada Orang Kata Gred 41 Jadi Gred 7?

Sebab dia tak follow Tim Infokerjaya lah tu :p

Gurau ja. Tapi kekeliruan ini biasanya berlaku kerana ramai calon hanya melihat nombor gred baharu tanpa faham laluan kelayakan.

Dalam sistem baharu, Gred 7 memang wujud.

Tetapi Gred 7 bukan gred utama untuk jawatan ijazah.

Secara umum, Gred 7 lebih berkait dengan laluan tertentu dalam skim Diploma/STPM, contohnya laluan selepas Gred 5 dan Gred 6 dalam skim perkhidmatan tertentu.

Sebab itu, jika calon ada ijazah dan mahu mohon jawatan pegawai, gred yang biasanya perlu diperhatikan ialah Gred 9, bukan Gred 7.

Ringkasnya:

Gred 7 bukan pengganti Gred 41.

Gred 9 ialah pengganti umum kepada Gred 41.

Apa Maksud Gred 1 Dalam Kerja Kerajaan?

Gred 1 biasanya merujuk kepada jawatan peringkat pelaksana yang terbuka kepada calon berkelayakan SPM, SVM, SKM atau kelayakan setaraf, bergantung kepada syarat jawatan.

Contoh jawatan yang boleh berada dalam laluan ini termasuk:

  • Pembantu Tadbir Gred N1
  • Pembantu Operasi
  • Pembantu Awam
  • Pembantu Penguat Kuasa
  • Pegawai Imigresen Gred KP1
  • Pegawai Penjara Gred KA1
  • Juruteknik Komputer Gred FT1

Gred 1 sesuai untuk calon yang mahu memulakan kerjaya kerajaan berdasarkan kelayakan peringkat sekolah menengah atau kemahiran tertentu.

Jangan pandang rendah jawatan Gred 1. Banyak jawatan pelaksana menjadi tulang belakang operasi harian jabatan kerajaan.

Apa Maksud Gred 5 Dalam Kerja Kerajaan?

Gred 5 biasanya melibatkan jawatan yang mensyaratkan kelayakan seperti Diploma, STPM, STAM, Matrikulasi atau kelayakan setaraf, bergantung kepada skim jawatan.

Contoh jawatan Gred 5 termasuk:

  • Penolong Pegawai Tadbir Gred N5
  • Penolong Pegawai Teknologi Maklumat Gred FA5
  • Penolong Pegawai Pertanian Gred G5
  • Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Gred S5
  • Penolong Penguasa Kastam Gred WK5
  • Penolong Penguasa Imigresen Gred KP5
  • Penolong Pegawai Siasatan Gred P5

Gred 5 sesuai untuk calon yang mahu masuk ke sektor awam dalam laluan separa profesional, teknikal, penguatkuasaan, pentadbiran, sosial, pertanian, kewangan atau teknologi maklumat.

Apa Maksud Gred 7 Dalam Kerja Kerajaan?

Gred 7 bukan gred utama untuk calon ijazah.

Ini ayat penting yang calon perlu ingat.

Gred 7 lebih sesuai difahami sebagai sebahagian daripada laluan pergerakan atau kenaikan dalam skim tertentu, khususnya bagi laluan yang bermula daripada Diploma/STPM.

Sebab itu, jangan terus menyangka:

“Saya ada ijazah, jadi saya perlu cari Gred 7.”

Tidak semestinya.

Jika anda ada ijazah dan mahu memohon jawatan pegawai dalam SPA, anda biasanya akan berjumpa dengan jawatan Gred 9, seperti N9, M9, KP9, F9, G9, S9, P9 dan sebagainya.

 

Apa Maksud Gred 9 Dalam Kerja Kerajaan?

Gred 9 ialah antara gred paling penting untuk calon lepasan ijazah.

Jika dahulu calon biasa mencari jawatan “Gred 41”, sekarang calon perlu mula mencari istilah “Gred 9”.

Contoh jawatan Gred 9 termasuk:

  • Pegawai Tadbir Gred N9
  • Pegawai Tadbir dan Diplomatik Gred M9
  • Pegawai Penguat Kuasa Gred KP9
  • Pegawai Teknologi Maklumat Gred F9
  • Pegawai Pertanian Gred G9
  • Pegawai Pembangunan Masyarakat Gred S9
  • Pegawai Psikologi Gred S9
  • Pegawai Siasatan Gred P9
  • Pegawai Penerangan Gred S9
  • Penguasa Kastam Gred WK9
  • Penguasa Imigresen Gred KP9

Gred 9 sesuai untuk calon yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda atau kelayakan lebih tinggi, bergantung kepada syarat lantikan jawatan.

 

Gred Mana Paling Sesuai Untuk Anda?

Jawapan paling mudah:

Jika anda ada SPM, lihat jawatan Gred 1.

Jika anda ada Diploma, STPM, STAM atau Matrikulasi, lihat jawatan Gred 5.

Jika anda ada Ijazah Sarjana Muda, lihat jawatan Gred 9.

Namun, jangan pilih jawatan berdasarkan nombor gred semata-mata.

Sebelum memohon, semak juga:

  • nama penuh jawatan
  • skim perkhidmatan
  • syarat akademik
  • bidang pengajian yang diterima
  • syarat Bahasa Melayu
  • syarat fizikal, jika ada
  • deskripsi tugas
  • gaji permulaan
  • lokasi penempatan
  • peluang kenaikan pangkat
  • kesesuaian minat dan personaliti kerja

Ada calon berijazah yang tetap memohon jawatan Gred 5 kerana strategi panggilan, minat bidang atau mahu mendapatkan peluang masuk ke sektor awam terlebih dahulu.

Itu tidak semestinya salah.

Tetapi calon perlu faham bahawa gred jawatan akan mempengaruhi gaji permulaan, tugas, tanggungjawab dan laluan kerjaya.

Kesilapan Biasa Calon Bila Baca Gred Kerja Kerajaan

Ramai calon bukan gagal kerana tidak layak.

Kadang-kadang mereka gagal kerana tersilap faham maklumat asas.

Antara kesilapan biasa ialah:

  1. Masih mencari “Gred 41” sedangkan iklan terkini sudah guna “Gred 9”.
  2. Menyangka Gred 41 bertukar menjadi Gred 7.
  3. Tidak tahu beza Gred 1, Gred 5 dan Gred 9.
  4. Memohon jawatan tanpa membaca syarat lantikan.
  5. Menganggap semua jawatan kerajaan memerlukan ijazah.
  6. Tidak semak bidang pengajian yang diterima.
  7. Tidak tahu beza jawatan pelaksana, separa profesional dan pegawai.
  8. Tidak semak nama skim jawatan terkini selepas SSPA.
  9. Hanya tengok gaji, tetapi tidak faham skop tugas.
  10. Tidak membuat persediaan awal untuk ujian psikometrik, pemeriksaan fizikal atau temuduga.

Kesilapan ini nampak kecil, tetapi boleh menyebabkan calon tersalah pilih jawatan atau terlepas peluang yang lebih sesuai.

Contoh Mudah Supaya Calon Lebih Faham

Bayangkan ada tiga calon.

Calon pertama ada SPM. Dia mahu kerja kerajaan dalam bidang pentadbiran. Maka dia boleh mula menyemak jawatan peringkat Gred 1 seperti Pembantu Tadbir atau jawatan pelaksana lain yang sesuai dengan kelayakannya.

Calon kedua ada Diploma. Dia berminat dalam pentadbiran. Maka dia boleh menyemak jawatan seperti Penolong Pegawai Tadbir Gred N5.

Calon ketiga ada Ijazah Sarjana Muda. Dia berminat menjadi pegawai dalam sektor awam. Maka dia boleh menyemak jawatan seperti Pegawai Tadbir Gred N9, PTD Gred M9 atau jawatan pegawai lain yang sepadan dengan bidang pengajiannya.

Daripada contoh ini, calon boleh nampak perbezaan mudah:

SPM biasanya bermula di Gred 1.

Diploma biasanya bermula di Gred 5.

Ijazah biasanya bermula di Gred 9.

Senarai Keyword Lama dan Istilah Baharu Yang Calon Perlu Tahu

Jika anda membuat carian di Google, anda mungkin masih menaip istilah lama.

Contohnya:

  • kerja kerajaan Gred 19
  • kerja kerajaan Gred 29
  • kerja kerajaan Gred 41
  • jawatan SPA Gred 41
  • gaji Gred 41 kerajaan
  • Gred 41 jadi gred berapa

Tetapi dalam iklan dan rujukan terkini, anda perlu mula biasakan diri dengan istilah baharu seperti:

  • kerja kerajaan Gred 1
  • kerja kerajaan Gred 5
  • kerja kerajaan Gred 9
  • jawatan SPA Gred N9
  • PTD Gred M9
  • Pegawai Penguat Kuasa KP9
  • Penolong Pegawai Tadbir N5
  • Penolong Penguasa Kastam WK5
  • Penguasa Kastam WK9

Ini penting kerana carian menggunakan istilah lama mungkin membawa anda kepada artikel lama.

Untuk maklumat terkini, semak istilah baharu SSPA dan rujukan rasmi jawatan semasa.

Panduan Akhir Untuk Calon Kerja Kerajaan

Sebelum memohon mana-mana jawatan, jangan hanya tanya:

“Gred ini tinggi atau rendah?”

Tanya juga:

“Adakah gred ini sesuai dengan kelayakan saya?”

“Adakah bidang pengajian saya diterima?”

“Adakah tugas jawatan ini sesuai dengan minat dan kekuatan saya?”

“Adakah saya bersedia untuk ujian psikometrik, pemeriksaan fizikal, PAC atau temuduga?”

Kerja kerajaan bukan sekadar tentang nombor gred. Ia juga tentang kesesuaian tugas, integriti, disiplin, daya tahan dan kemampuan membawa tanggungjawab sebagai penjawat awam.

Yang penting, jangan hanya bergantung kepada artikel lama.

Semak istilah terkini, faham struktur gred baharu dan buat persediaan awal sebelum permohonan, ujian atau temuduga.

Kesimpulan

Selepas pelaksanaan SSPA, calon kerja kerajaan perlu mula membiasakan diri dengan istilah gred baharu.

Ringkasan paling mudah:

  • Gred 19 lama biasanya dirujuk kepada Gred 1.
  • Gred 29 lama biasanya dirujuk kepada Gred 5.
  • Gred 41 lama biasanya dirujuk kepada Gred 9.
  • Gred 41 bukan bertukar menjadi Gred 7.

Jika anda sedang mencari kerja kerajaan, pastikan anda semak nama jawatan, gred terkini dan syarat lantikan di portal rasmi SPA atau agensi berkaitan.

Maklumat gred yang tepat akan membantu anda memilih jawatan yang lebih sesuai dengan kelayakan, minat dan hala tuju kerjaya anda.

FAQ
Soalan Lazim Tentang Gred Kerja Kerajaan Terkini

Gred 41 sekarang jadi gred berapa?

Gred 41 secara umumnya kini menjadi Gred 9 di bawah SSPA, khususnya bagi jawatan yang mensyaratkan kelayakan ijazah.

Betul ke Gred 41 jadi Gred 7?

Tidak. Gred 41 bukan jadi Gred 7. Gred 7 lebih berkait dengan laluan tertentu dalam skim Diploma/STPM, manakala Gred 9 ialah laluan utama bagi jawatan ijazah.

Gred 19 jadi gred berapa?

Secara umum, Gred 19 lama lebih dekat dengan Gred 1 dalam struktur baharu SSPA.

Gred 29 jadi gred berapa?

Secara umum, Gred 29 lama lebih dekat dengan Gred 5, khususnya bagi laluan Diploma/STPM/setaraf.

Gred 9 untuk kelayakan apa?

Gred 9 biasanya dikaitkan dengan jawatan yang memerlukan Ijazah Sarjana Muda atau kelayakan lebih tinggi, bergantung kepada syarat skim jawatan.

Kalau saya ada ijazah, boleh mohon Gred 5?

Boleh, jika jawatan itu terbuka dan anda memenuhi syarat lantikan. Namun, anda perlu faham bahawa Gred 5 biasanya bukan laluan utama ijazah dan mungkin berbeza dari segi gaji permulaan, tugas serta laluan kerjaya.

Mana lebih tinggi, Gred 5 atau Gred 9?

Gred 9 lebih tinggi daripada Gred 5. Secara umum, Gred 5 dikaitkan dengan laluan Diploma/STPM, manakala Gred 9 dikaitkan dengan laluan ijazah.

Apa beza N9, M9, KP9, WK9 dan F9?

Huruf di depan nombor gred merujuk kepada skim atau klasifikasi perkhidmatan. Contohnya, N biasanya berkait pentadbiran dan sokongan, M untuk Tadbir dan Diplomatik, KP untuk keselamatan dan penguatkuasaan, WK untuk kewangan tertentu seperti kastam, manakala F untuk teknologi maklumat.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Scroll to Top