Bayangkan anda sedang mengurus permohonan kad pengenalan. Orang awam di hadapan anda mahu urusannya dipercepatkan, barisan semakin panjang dan satu butiran pada dokumen tidak sepadan dengan rekod dalam sistem.
Adakah anda terus memproses permohonan itu untuk meredakan keadaan? Adakah anda meminta semakan lanjut walaupun pemohon mungkin tidak berpuas hati? Atau anda menyerahkan keputusan kepada rakan tanpa menerangkan isu sebenar?
Situasi seperti inilah yang membantu kita memahami soalan psikometrik Pembantu Pendaftaran. Ujian ini bukan sekadar mencari calon yang kelihatan rajin. Ia menilai sama ada corak sikap, pertimbangan dan cara bekerja calon sesuai dengan tanggungjawab Pembantu Pendaftaran Gred KP1.
Nota penting: Contoh dalam artikel ini dibina oleh Tim Infokerjaya sebagai latihan berdasarkan skop tugas dan kompetensi jawatan. Ia bukan soalan rasmi, soalan bocor atau skema jawapan rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA).
Jawapan Ringkas
Ujian PSEE Psikometrik Pembantu Pendaftaran KP1 menilai kesesuaian calon dengan pekerjaan, organisasi dan kerja berpasukan melalui respons kendiri. Bagi jawatan ini, calon perlu memahami isu seperti integriti, kerahsiaan rekod, ketelitian, pematuhan prosedur, khidmat kepada orang awam, kestabilan emosi dan disiplin.
Tiada satu huruf jawapan yang sentiasa betul untuk semua soalan. Jawapan perlu dibaca mengikut maksud ayat, sama ada pernyataan itu positif atau negatif, serta konstruk yang sedang dinilai. Untuk nilai teras seperti amanah dan kerahsiaan, pendirian biasanya perlu jelas. Untuk pengalaman manusia seperti penat atau risau, jawapan yang munasabah lebih meyakinkan daripada cuba kelihatan sempurna.
Isi Kandungan
KLIK UNTUK LIHAT SENARAI TAJUK
- Jawapan Ringkas
- Apa Itu PSEE Psikometrik Pembantu Pendaftaran KP1?
- Kenapa Tugas KP1 Menentukan Cara Soalan Dibaca?
- Enam Komponen Latihan Psikometrik Pembantu Pendaftaran KP1
- 12 Contoh Soalan Psikometrik Pembantu Pendaftaran KP1
- Cara Menjaga Konsistensi Jawapan
- Bila Patut Jawab EXTREM atau REALISTIK?
- Kesalahan Calon yang Selalu Berlaku
- Persediaan Teknikal Sebelum Ujian PSEE
- Berapa Banyak Latihan yang Patut Dibuat?
- Soalan Lazim Tentang Psikometrik Pembantu Pendaftaran KP1
- Kesimpulan
- Sumber Rasmi
| Perkara | Ringkasan |
|---|---|
| Jawatan | Pembantu Pendaftaran Gred KP1 |
| Jabatan | Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia |
| Bentuk penilaian | Penilaian kendiri secara dalam talian |
| Fokus rasmi PSEE Psikometrik | Kesesuaian dengan pekerjaan, organisasi dan kerja berpasukan |
| Fokus latihan artikel | Integriti, kerahsiaan, ketelitian, prosedur, komunikasi, emosi dan disiplin |
| Strategi utama | Fahami maksud ayat, jawab jujur dan kekalkan corak yang konsisten |
| Jumlah contoh lengkap | 12 soalan merentas enam komponen |
Apa Itu PSEE Psikometrik Pembantu Pendaftaran KP1?
PSEE ialah Penilaian Memasuki Perkhidmatan Awam. Menurut SPA, penilaian psikometrik digunakan untuk melihat kesesuaian calon dari sudut job-fit, organization-fit dan team-fit.
Maksudnya, penilaian bukan hanya bertanya sama ada anda seorang yang baik. Ia cuba melihat sama ada kecenderungan anda sesuai dengan cara kerja jawatan, nilai organisasi dan keperluan bekerjasama dengan orang lain.
Calon menjawab secara kendiri. Oleh itu, kejujuran dan konsistensi sangat penting. Jika calon cuba memilih jawapan yang kelihatan paling cantik pada setiap item tanpa memahami maksudnya, corak respons boleh menjadi bercanggah.
SPA turut menjelaskan bahawa keputusan dibuat berdasarkan merit, jumlah kekosongan dan bilangan calon yang menduduki penilaian. Sebab itu tiada satu markah lulus tetap yang sesuai digunakan untuk semua urusan.
Adakah semua calon KP1 akan dipanggil PSEE?
Tidak semestinya. Hanya calon yang memenuhi syarat dan dipanggil bagi urusan berkenaan akan menduduki penilaian. Semak e-mel, folder Spam atau Junk, portal SPA dan saluran rasmi SPA. Panggilan bagi satu urusan tidak boleh dianggap terpakai kepada urusan lain.
Adakah ujian ini menguji ilmu pendaftaran?
Fokus psikometrik bukan peperiksaan menghafal prosedur JPN. Namun, konteks jawatan tetap penting kerana maksud sesuatu sifat berubah mengikut tanggungjawab sebenar.
Sebagai contoh, sikap suka membantu ialah positif. Tetapi membantu orang awam dengan melangkau semakan dokumen bukan tindakan yang wajar. Khidmat yang baik masih perlu berada dalam batas undang-undang, prosedur dan kerahsiaan.
Kenapa Tugas KP1 Menentukan Cara Soalan Dibaca?
Pembantu Pendaftaran Gred KP1 berada dalam klasifikasi Keselamatan dan Pertahanan Awam serta berkhidmat di Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia. Huraian kerja rasmi JPA menunjukkan tugasnya boleh melibatkan urusan kad pengenalan, kelahiran, kematian dan anak angkat, kewarganegaraan, perkahwinan dan perceraian, pengurusan rekod, kutipan hasil serta tugas siasatan atau penguatkuasaan mengikut penempatan.
Ini bermakna calon mungkin berurusan dengan data peribadi, dokumen penting, wang awam, prosedur yang terperinci dan orang ramai dalam pelbagai keadaan emosi.
| Konteks tugas | Sifat yang diperlukan | Risiko jika lemah |
|---|---|---|
| Mengurus rekod identiti dan dokumen rasmi | Teliti, cermat dan menjaga kerahsiaan | Salah rekod, kebocoran maklumat atau penyalahgunaan akses |
| Menyemak permohonan berdasarkan peraturan | Patuh prosedur dan berani menolak jalan pintas | Dokumen tidak sah diproses atau keputusan tidak seragam |
| Berurusan dengan orang awam | Sopan, jelas dan sabar | Konflik, salah faham atau aduan |
| Mengendalikan hasil dan urusan rasmi | Amanah dan bertanggungjawab | Ketirisan, penyelewengan atau keraguan terhadap integriti |
| Menghadapi barisan, tekanan masa dan sistem terganggu | Stabil, tersusun dan mampu kembali fokus | Kesilapan meningkat atau emosi mempengaruhi layanan |
| Bekerja mengikut arahan dan pasukan | Disiplin, bekerjasama dan boleh dipercayai | Tugas tertangguh dan penyampaian perkhidmatan terjejas |

Huraian rasmi JPA sendiri menyenaraikan sifat seperti integriti, akauntabiliti, tanggungjawab, adil, menjaga kerahsiaan, teliti, cekap, bekerja dalam pasukan dan berdisiplin. Risiko rasuah serta penyelewengan turut dinyatakan dalam konteks persekitaran kerja jawatan ini.
Jadi, cara terbaik membuat latihan bukan menghafal huruf jawapan. Hubungkan setiap item dengan amanah yang akan dipikul.
Enam Komponen Latihan Psikometrik Pembantu Pendaftaran KP1
Untuk memudahkan latihan, Tim Infokerjaya menyusun soalan psikometrik Pembantu Pendaftaran kepada enam komponen. Pembahagian ini ialah kerangka latihan, bukannya blueprint rasmi SPA.

1. Etika, Integriti dan Kerahsiaan
Komponen ini melihat pendirian terhadap amanah, maklumat sulit, penyalahgunaan akses, hadiah, kepentingan peribadi dan tindakan apabila terlihat salah laku.
Calon perlu membezakan sikap mesra dengan sikap terlalu bertolak ansur. Dalam urusan rekod rasmi, menjaga hubungan tidak boleh mengatasi amanah.
2. Ketelitian dan Pematuhan Prosedur
Komponen ini menilai kecenderungan menyemak butiran, mengikuti langkah kerja, merekod dengan tepat dan mendapatkan pengesahan apabila terdapat percanggahan.
Cepat bukan bermaksud cuai. Pegawai yang cekap boleh bekerja pantas sambil mengekalkan semakan penting.
3. Khidmat Orang Awam dan Komunikasi
Calon dinilai melalui cara mendengar, menerangkan prosedur, menangani pertanyaan berulang dan membantu pemohon memahami tindakan seterusnya.
Layanan baik tidak bermaksud bersetuju dengan semua permintaan. Komunikasi yang matang menerangkan sebab, pilihan yang sah dan langkah susulan dengan tenang.
4. Pengurusan Emosi dan Daya Tahan
Item mungkin menyentuh tekanan, kritikan, gangguan sistem, orang awam yang marah atau beban kerja yang berubah.
Calon yang stabil bukan manusia yang langsung tidak pernah tertekan. Yang lebih penting ialah cara mengawal reaksi, mendapatkan semula fokus dan meneruskan tugas secara profesional.
5. Komitmen, Disiplin dan Pematuhan Arahan
Komponen ini melihat ketepatan masa, penyempurnaan tugasan, pematuhan arahan yang sah, pengurusan keutamaan dan sikap terhadap kerja rutin.
Kerja berulang tetap penting kerana setiap rekod memberi kesan kepada individu sebenar.
6. Kesedaran Perkhidmatan Awam dan Nilai Rakyat
Komponen ini menilai rasa tanggungjawab kepada masyarakat, keadilan layanan, penggunaan sumber awam dan keutamaan kepentingan perkhidmatan berbanding keuntungan peribadi.
Calon yang sesuai memahami bahawa setiap keputusan rasmi perlu boleh dipertanggungjawabkan.
Mahu berlatih dengan susunan yang lebih lengkap? Rujukan Psikometrik Pembantu Pendaftaran KP1 Tim Infokerjaya mengandungi 200 latihan, cadangan jawapan, sebab jawapan, perangkap, cara membaca ayat songsang dan panduan menjaga konsistensi. Lihat kandungan rujukan di sini.
12 Contoh Soalan Psikometrik Pembantu Pendaftaran KP1
Contoh berikut menggunakan beberapa variasi skala supaya calon tidak terlalu bergantung pada kedudukan huruf. Baca label pilihan setiap kali kerana maksud A, B atau C boleh berubah. Contoh soalan ini khusus untuk Pembantu Pendaftaran KP1. Untuk Akauntan WA9 boleh rujuk di sini.
Komponen 1: Etika, Integriti dan Kerahsiaan
Soalan 1
Soalan: Saya hanya berkongsi maklumat rekod pemohon dengan pegawai yang diberi kuasa untuk urusan rasmi.
Pilihan:
A. Sangat Tidak Setuju
B. Tidak Setuju
C. Setuju
D. Sangat Setuju
Cadangan: D. Sangat Setuju
Huraian
Mengapa Soalan Ini Penting: Pembantu Pendaftaran boleh berurusan dengan data peribadi dan dokumen rasmi. Akses kepada maklumat tidak memberi hak untuk berkongsi sesuka hati.
Mengapa Jawapan Ini Dicadangkan: Pernyataan ini menyokong kerahsiaan dan had kuasa. Bagi nilai teras seperti menjaga rekod rasmi, pendirian yang tegas lebih selari dengan amanah jawatan.
Perangkap Calon: Menganggap perkongsian maklumat dibenarkan selagi penerimanya rakan sekerja. Hakikatnya, tujuan urusan dan kuasa penerima tetap perlu jelas.
Cara Elak: Tanya diri, “Adakah orang ini diberi kuasa dan adakah maklumat itu diperlukan untuk tugas rasmi?”
Penilaian: Etika, Integriti dan Kerahsiaan
Soalan 2
Pilihan:
Soalan: Saya boleh melihat rekod individu yang saya kenali walaupun tiada urusan rasmi, asalkan maklumat itu tidak disebarkan.
A. Sangat Tidak Setuju
B. Tidak Setuju
C. Kurang Setuju
D. Agak Setuju
E. Sangat Setuju
Cadangan: A. Sangat Tidak Setuju
Huraian
Mengapa Soalan Ini Penting: Penyalahgunaan akses boleh berlaku walaupun maklumat tidak disalin atau disebarkan. Membuka rekod tanpa tujuan rasmi sendiri merupakan masalah integriti.
Mengapa Jawapan Ini Dicadangkan: Ayat ini cuba menormalisasikan rasa ingin tahu dengan syarat “tidak disebarkan”. Calon perlu menolak alasan tersebut dengan jelas.
Perangkap Calon: Terpengaruh dengan bahagian akhir ayat lalu menganggap tiada mudarat berlaku.
Cara Elak: Kenal pasti tindakan utama dahulu, iaitu melihat rekod tanpa urusan rasmi. Syarat tambahan tidak menjadikan tindakan itu betul.
Penilaian: Etika, Integriti dan Kerahsiaan
Komponen 2: Ketelitian dan Pematuhan Prosedur
Soalan 3
Soalan: Sebelum mengesahkan sesuatu rekod, saya menyemak semula butiran dokumen dengan maklumat dalam sistem.
Pilihan:
A. Tidak Setuju
B. Setuju
C. Sangat Setuju
Cadangan: C. Sangat Setuju
Huraian
Mengapa Soalan Ini Penting: Kesilapan pada nama, nombor atau butiran lain boleh memberi kesan besar kepada urusan individu dan rekod kerajaan.
Mengapa Jawapan Ini Dicadangkan: Semakan sebelum pengesahan ialah amalan teliti yang selari dengan tugas berkaitan rekod dan dokumen rasmi.
Perangkap Calon: Memilih jawapan sederhana kerana bimbang semakan dianggap melambatkan kerja.
Cara Elak: Bezakan ketelitian yang perlu dengan pengulangan yang tidak produktif. Semakan kritikal sebelum pengesahan melindungi ketepatan kerja.
Penilaian: Ketelitian dan Pematuhan Prosedur
Soalan 4
Soalan: Jika orang awam mendesak urusannya disiapkan segera, beberapa langkah semakan boleh dilangkau.
Pilihan:
A. Sangat Tidak Setuju
B. Tidak Setuju
C. Setuju
D. Sangat Setuju
Cadangan: A. Sangat Tidak Setuju
Huraian
Mengapa Soalan Ini Penting: Tekanan daripada orang awam tidak menghapuskan tanggungjawab mematuhi prosedur. Jalan pintas boleh membuka ruang kepada kesilapan atau salah guna.
Mengapa Jawapan Ini Dicadangkan: Pernyataan membenarkan prosedur diketepikan hanya kerana desakan. Nilai pematuhan memerlukan penolakan yang tegas.
Perangkap Calon: Menyamakan tindakan melangkau semakan dengan sikap cekap atau membantu.
Cara Elak: Cari cara mempercepat penerangan atau aliran kerja tanpa membuang kawalan yang diwajibkan.
Penilaian: Ketelitian dan Pematuhan Prosedur
Komponen 3: Khidmat Orang Awam dan Komunikasi
Soalan 5
Soalan: Saya menerangkan semula prosedur dengan bahasa yang lebih mudah apabila pemohon masih belum memahaminya.
Pilihan:
A. Tidak Pernah
B. Sangat Jarang
C. Jarang
D. Kadang-kadang
E. Kerap
F. Sangat Kerap
Cadangan: F. Sangat Kerap
Huraian
Mengapa Soalan Ini Penting: Orang awam datang dengan tahap kefahaman dan pengalaman yang berbeza. Penerangan jelas membantu mengurangkan kesilapan dokumen dan kunjungan berulang.
Mengapa Jawapan Ini Dicadangkan: Kesediaan menyesuaikan bahasa menunjukkan orientasi perkhidmatan dan komunikasi yang matang.
Perangkap Calon: Menganggap menerangkan sekali sudah memadai kerana memahami arahan ialah tanggungjawab pemohon semata-mata.
Cara Elak: Kekalkan prosedur yang sama tetapi ubah cara menerangkan mengikut keperluan orang yang berurusan.
Penilaian: Khidmat Orang Awam dan Komunikasi
Soalan 6
Soalan: Pertanyaan yang berulang daripada orang awam hanya membuang masa saya.
Pilihan:
A. Sangat Tidak Setuju
B. Tidak Setuju
C. Kurang Setuju
D. Agak Setuju
E. Sangat Setuju
Cadangan: A. Sangat Tidak Setuju
Huraian
Mengapa Soalan Ini Penting: Tugas barisan hadapan memerlukan kesabaran. Pertanyaan berulang boleh menunjukkan arahan belum difahami atau maklumat belum cukup jelas.
Mengapa Jawapan Ini Dicadangkan: Ayat menggunakan perkataan “hanya” untuk menilai sikap merendahkan keperluan orang awam. Pendirian tegas lebih sesuai terhadap layanan profesional.
Perangkap Calon: Menjawab berdasarkan rasa penat pada satu hari yang sibuk, bukan prinsip kerja keseluruhan.
Cara Elak: Bezakan emosi sementara dengan cara anda percaya orang awam patut dilayan.
Penilaian: Khidmat Orang Awam dan Komunikasi
Komponen 4: Pengurusan Emosi dan Daya Tahan
Soalan 7
Soalan: Saya kadang-kadang berasa tertekan apabila barisan panjang dan sistem bergerak perlahan.
Pilihan:
A. Sangat Tidak Setuju
B. Tidak Setuju
C. Setuju
D. Sangat Setuju
Cadangan: C. Setuju
Huraian
Mengapa Soalan Ini Penting: Tekanan ialah reaksi manusia. Penilaian yang matang membezakan kewujudan emosi dengan kegagalan mengawalnya.
Mengapa Jawapan Ini Dicadangkan: Perkataan “kadang-kadang” menjadikan pernyataan munasabah. Mengaku tekanan yang realistik tidak sama dengan mengatakan anda hilang kawalan atau tidak mampu bekerja.
Perangkap Calon: Memilih “Sangat Tidak Setuju” semata-mata mahu kelihatan kebal. Jawapan terlalu sempurna pada semua item emosi boleh membentuk gambaran yang tidak realistik.
Cara Elak: Untuk pengalaman manusia, nilai kekerapan dan kesannya. Kemudian pastikan item lain menunjukkan anda tahu mengawal dan memulihkan fokus.
Penilaian: Pengurusan Emosi dan Daya Tahan
Soalan 8
Soalan: Selepas berdepan dengan individu yang marah, saya menenangkan diri dan kembali memberi perhatian kepada tugas.
Pilihan:
A. Sangat Tidak Setuju
B. Tidak Setuju
C. Neutral
D. Setuju
E. Sangat Setuju
Cadangan: E. Sangat Setuju
Huraian
Mengapa Soalan Ini Penting: Interaksi sukar tidak sepatutnya menjejaskan ketepatan urusan berikutnya atau layanan kepada orang lain.
Mengapa Jawapan Ini Dicadangkan: Ayat menilai tindakan pemulihan yang positif, bukannya mendakwa calon tidak pernah terganggu.
Perangkap Calon: Menumpukan emosi individu yang marah dan terlepas frasa penting “menenangkan diri dan kembali memberi perhatian”.
Cara Elak: Cari tingkah laku yang dinilai selepas peristiwa berlaku. Daya tahan ditunjukkan melalui pemulihan.
Penilaian: Pengurusan Emosi dan Daya Tahan
Komponen 5: Komitmen, Disiplin dan Pematuhan Arahan
Soalan 9
Soalan: Saya menangguhkan kemas kini rekod rutin jika tiada sesiapa memantau kerja saya.
Pilihan:
A. Sangat Tidak Setuju
B. Tidak Setuju
C. Setuju
D. Sangat Setuju
Cadangan: A. Sangat Tidak Setuju
Huraian
Mengapa Soalan Ini Penting: Disiplin sebenar wujud walaupun tanpa pengawasan langsung. Kelewatan rekod boleh memberi kesan kepada proses seterusnya.
Mengapa Jawapan Ini Dicadangkan: Pernyataan mengaitkan usaha dengan pengawasan, bukan tanggungjawab. Calon yang boleh dipercayai menyiapkan tugas kerana memahami kepentingannya.
Perangkap Calon: Menganggap tugas rutin boleh ditangguh kerana tidak kelihatan mendesak.
Cara Elak: Nilai akibat kepada aliran kerja dan orang lain, bukan hanya sama ada ketua sedang melihat.
Penilaian: Komitmen, Disiplin dan Pematuhan Arahan
Soalan 10
Soalan: Saya melaksanakan arahan kerja yang sah tepat pada waktunya walaupun tugas itu berulang.
Pilihan:
A. Tidak Pernah
B. Sangat Jarang
C. Jarang
D. Kadang-kadang
E. Kerap
F. Sangat Kerap
Cadangan: F. Sangat Kerap
Huraian
Mengapa Soalan Ini Penting: Banyak proses pentadbiran memerlukan konsistensi. Kerja yang berulang tetap perlu diselesaikan mengikut masa dan piawaian.
Mengapa Jawapan Ini Dicadangkan: Ayat menyatakan arahan itu sah dan tugasan perlu dilaksanakan. Respons tinggi menunjukkan disiplin serta kebolehpercayaan.
Perangkap Calon: Menolak kerana perkataan “berulang” dianggap membosankan.
Cara Elak: Bezakan minat peribadi dengan komitmen profesional. Tidak semua tugas penting terasa menarik.
Penilaian: Komitmen, Disiplin dan Pematuhan Arahan
Komponen 6: Kesedaran Perkhidmatan Awam dan Nilai Rakyat
Soalan 11
Soalan: Saya memberi layanan yang sama tanpa dipengaruhi status, hubungan atau kepentingan peribadi seseorang.
Pilihan:
A. Tidak Setuju
B. Setuju
C. Sangat Setuju
Cadangan: C. Sangat Setuju
Huraian
Mengapa Soalan Ini Penting: Perkhidmatan awam memerlukan keputusan yang adil. Hubungan peribadi tidak sepatutnya membuka laluan khas yang bertentangan dengan prosedur.
Mengapa Jawapan Ini Dicadangkan: Pernyataan menyokong layanan saksama dan mengelakkan pilih kasih. Ini ialah nilai teras yang memerlukan pendirian jelas.
Perangkap Calon: Menganggap kenalan boleh dibantu terlebih dahulu selagi tidak melibatkan wang.
Cara Elak: Gunakan peraturan yang sama untuk semua orang dan rujuk saluran sah jika sesuatu kes memerlukan keutamaan khusus.
Penilaian: Kesedaran Perkhidmatan Awam dan Nilai Rakyat
Soalan 12
Soalan: Saya tidak pernah berasa letih walaupun mengurus orang ramai sepanjang hari.
Pilihan:
A. Sangat Tidak Setuju
B. Tidak Setuju
C. Setuju
D. Sangat Setuju
Cadangan: B. Tidak Setuju
Huraian
Mengapa Soalan Ini Penting: Item ini menguji sama ada calon membaca kata mutlak seperti “tidak pernah” dan memberi respons yang realistik.
Mengapa Jawapan Ini Dicadangkan: Keletihan ialah pengalaman manusia yang munasabah. Menolak dakwaan mutlak tidak bermaksud calon malas atau gagal berkhidmat. Yang lebih penting ialah mengurus tenaga dan terus menjaga mutu layanan.
Perangkap Calon: Memilih “Sangat Setuju” kerana mahu kelihatan sentiasa bertenaga.
Cara Elak: Bezakan antara “saya tetap menjalankan tugas walaupun letih” dengan “saya tidak pernah letih”. Dua pernyataan itu menilai perkara berbeza.
Penilaian: Pengurusan Emosi dan Daya Tahan; Kesedaran Perkhidmatan Awam
Cara Menjaga Konsistensi Jawapan
Konsisten bukan bermaksud memilih pilihan yang sama untuk semua soalan. Konsisten bermaksud prinsip anda kekal apabila ayat ditulis secara positif, negatif atau dalam situasi berbeza.
Lihat tiga item berikut:
| Item | Arah ayat | Respons yang selari |
|---|---|---|
| Saya menjaga kerahsiaan maklumat walaupun diminta oleh kenalan rapat. | Positif | Sangat Setuju |
| Saya boleh berkongsi sedikit maklumat jika penerimanya boleh dipercayai. | Negatif | Sangat Tidak Setuju |
| Apabila ragu-ragu tentang hak akses, saya mendapatkan pengesahan pegawai berkuasa. | Positif dan situasi | Sangat Setuju |

Ketiga-tiga ayat tidak sama, tetapi semuanya menyentuh sempadan kerahsiaan. Jika calon bersetuju kuat dengan item pertama dan kedua, coraknya bercanggah.
Empat langkah membaca soalan dengan lebih selamat
- Cari tindakan utama. Apakah yang sebenarnya dilakukan oleh individu dalam ayat?
- Kenal pasti arah ayat. Adakah tindakan itu menyokong atau menjejaskan nilai kerja?
- Perhatikan kata mutlak. Contohnya sentiasa, tidak pernah, semua dan langsung.
- Hubungkan dengan prinsip. Pilih respons yang selari dengan prinsip yang sama pada item terdahulu.
Jangan cuba mengingat nombor soalan atau huruf jawapan. Ingat nilai yang anda pegang.
Soalan songsang tidak semestinya rumit
Soalan songsang biasanya menukar tingkah laku positif kepada ayat negatif.
Contoh:
- Positif: “Saya menyemak dokumen sebelum mengesahkan rekod.”
- Songsang: “Saya jarang menyemak semula dokumen apabila urusan sedang sibuk.”
Jika anda membaca terlalu pantas dan hanya nampak perkataan “menyemak”, anda boleh tersalah pilih. Baca keseluruhan ayat sebelum menjawab.
Bila Patut Jawab EXTREM atau REALISTIK?
Dalam latihan Tim Infokerjaya, EXTREM merujuk kepada respons tegas pada hujung skala seperti Sangat Setuju atau Sangat Tidak Setuju. REALISTIK pula ialah respons yang munasabah apabila ayat melibatkan pengalaman manusia, kekerapan atau dakwaan terlalu mutlak.
| Situasi | Kecenderungan latihan | Contoh |
|---|---|---|
| Nilai teras yang jelas | EXTREM | Menolak penyalahgunaan akses, rasuah, pilih kasih atau pemalsuan |
| Tingkah laku kerja yang wajib | EXTREM | Menjaga kerahsiaan dan mematuhi semakan penting |
| Emosi biasa manusia | REALISTIK | Kadang-kadang risau, penat atau tertekan |
| Dakwaan kesempurnaan mutlak | REALISTIK | “Saya tidak pernah melakukan sebarang kesilapan” |
| Situasi yang bergantung pada konteks | Baca dengan teliti | Mendapatkan bantuan, membuat keputusan atau mengutamakan tugasan |
Jangan gunakan formula “semua jawapan mesti ekstrem”. Jangan juga takut memilih hujung skala apabila nilai yang dinilai benar-benar jelas.
Dalam 12 contoh artikel ini, majoriti item nilai teras menggunakan respons tegas. Dua item emosi dan dakwaan mutlak menggunakan respons realistik. Tujuannya ialah menunjukkan bahawa strategi bergantung pada konstruk, bukan helah satu jawapan untuk semua.
Kesalahan Calon yang Selalu Berlaku
1. Menjawab ikut imej calon sempurna
Calon cuba kelihatan tidak pernah marah, tidak pernah letih dan tidak pernah risau. Masalahnya, penafian semua emosi manusia boleh menghasilkan corak yang tidak meyakinkan.
2. Menganggap semua ayat positif perlu disetujui
Sesetengah ayat dibina dengan alasan yang kedengaran baik.
Contoh: “Demi membantu pemohon, saya boleh mengetepikan satu langkah kecil.” Perkataan “membantu” positif, tetapi tindakan mengetepikan prosedur tetap bermasalah.
3. Tidak membaca label skala
Ada set latihan yang menggunakan tiga, empat, lima atau enam pilihan. Huruf D boleh bermaksud Sangat Setuju dalam satu soalan tetapi Kadang-kadang dalam skala lain.
4. Terlalu lama pada satu item
Psikometrik mengandungi banyak pernyataan. Jika anda terlalu banyak mereka cerita tambahan yang tiada dalam ayat, masa dan fokus akan terjejas.
5. Menghafal jawapan tanpa memahami konstruk
Ayat boleh berubah tetapi nilai yang diuji sama. Hafalan mudah gagal apabila soalan ditulis secara songsang atau menggunakan situasi baharu.
6. Menggunakan jawapan orang lain
Latar diri dan corak keseluruhan respons anda tidak semestinya sama dengan orang lain. SPA sendiri menasihatkan calon menjawab dengan jujur serta tidak dipengaruhi atau diwakili orang lain.
7. Mengabaikan konteks jawatan
Respons yang kelihatan “fleksibel” dalam kehidupan harian mungkin tidak sesuai apabila melibatkan rekod identiti, hasil kerajaan dan akses data.
Persediaan Teknikal Sebelum Ujian PSEE
SPA membenarkan penilaian dalam talian di lokasi yang mempunyai capaian internet menggunakan komputer, komputer riba atau telefon pintar. Namun, persediaan teknikal tetap menentukan kelancaran.
Gunakan senarai semak ini:
- Semak tarikh, masa dan pautan dalam panggilan rasmi.
- Pastikan peranti mempunyai bateri atau disambungkan kepada kuasa.
- Uji internet dan sediakan pelan sandaran jika boleh.
- Gunakan pelayar yang dikemas kini.
- Pilih tempat yang tenang dan kurang gangguan.
- Tutup aplikasi yang menggunakan banyak data atau memaparkan notifikasi.
- Masuk lebih awal supaya masalah log masuk dapat dikesan.
- Baca arahan pada skrin dan label pilihan sebelum bermula.
- Jawab sendiri dengan jujur.
Menurut FAQ SPA, tarikh penilaian tidak boleh ditukar dan tiada sesi ulangan jika calon terlepas. Keputusan biasanya dimaklumkan dalam tempoh 15 hari bekerja selepas tarikh penilaian, tertakluk pada urusan berkenaan.
Berapa Banyak Latihan yang Patut Dibuat?
Matlamat latihan bukan mengejar jumlah semata-mata. Calon perlu melihat variasi ayat, mengenal pasti konstruk dan memahami sebab sesuatu respons dicadangkan.
Satu set 20 soalan yang dibaca bersama huraian boleh lebih berguna daripada 200 soalan yang dijawab laju tanpa semakan. Selepas memahami asas, jumlah latihan yang lebih besar membantu calon menguji konsistensi dalam pelbagai bentuk ayat.
Rujukan Psikometrik Pembantu Pendaftaran KP1 Tim Infokerjaya
Rujukan ini disediakan khusus untuk calon yang mahu latihan berstruktur, bukan sekadar senarai jawapan.
Antara kandungannya:
- 200 latihan psikometrik Pembantu Pendaftaran KP1
- Cadangan jawapan dan sebab jawapan dicadangkan
- Huraian perkara yang dinilai
- Perangkap calon serta cara mengelakkannya
- Latihan ayat positif, negatif dan songsang
- Panduan EXTREM berbanding REALISTIK
- Semakan konsistensi dan persediaan sebelum ujian
- Format digital yang boleh dibaca melalui telefon, tablet atau komputer
- Kemas kini percuma selama dua tahun seperti dinyatakan pada halaman produk
Tim Infokerjaya menyediakan bahan persediaan kerjaya kerajaan sejak 2009. Rujukan ini tidak menjanjikan kelulusan kerana keputusan PSEE bergantung pada merit dan urusan pengambilan. Fungsinya ialah membantu calon berlatih dengan lebih terarah.

Lihat preview dan kandungan penuh Rujukan Psikometrik Pembantu Pendaftaran KP1
Soalan Lazim Tentang Psikometrik Pembantu Pendaftaran KP1
Rujuk arahan panggilan rasmi untuk urusan anda. Jumlah item dan tempoh tidak wajar diandaikan berdasarkan pengalaman calon lama atau artikel bagi urusan lain. SPA boleh menetapkan penilaian mengikut keperluan semasa.
Tidak. Ia bergantung pada maksud pernyataan. “Sangat Setuju” sesuai untuk pernyataan positif tentang integriti, tetapi boleh menjadi respons lemah jika ayat menyokong pilih kasih atau melangkau prosedur.
Psikometrik berfokus pada kesesuaian dan kecenderungan, bukan ujian matematik akademik. Namun, calon mesti mengikut kandungan dan arahan dalam panggilan rasmi kerana sesuatu urusan boleh mempunyai penilaian lain.
SPA tidak menetapkan satu markah lulus universal pada halaman rasminya. Keputusan mengambil kira merit, jumlah kekosongan dan jumlah calon yang menduduki penilaian.
FAQ SPA menyatakan keputusan penilaian biasanya dikeluarkan dalam tempoh 15 hari bekerja selepas tarikh penilaian. Semak keputusan melalui saluran rasmi SPA.
SPA menyatakan keputusan adalah muktamad dan tiada rayuan. Pertukaran tarikh serta sesi ulangan juga tidak dibenarkan. Sebab itu calon perlu menyemak jadual dan membuat persediaan teknikal lebih awal.
Contoh lama boleh digunakan untuk memahami bentuk pernyataan umum, tetapi jangan bergantung pada nama gred lama atau fakta lama tentang urusan. Gunakan maklumat jawatan semasa KP1 dan rujuk panggilan rasmi anda.
SPA menyatakan pihaknya tidak menyediakan buku kompilasi soalan psikometrik dan tidak bertanggungjawab terhadap rujukan pihak ketiga. Bahan Tim Infokerjaya ialah latihan bebas, bukan penerbitan atau pengesahan SPA.
Tidak. Tiada rujukan yang boleh menjamin keputusan. Bahan latihan membantu anda memahami bentuk item, nilai kerja, ayat songsang dan konsistensi. Keputusan sebenar bergantung pada respons calon, merit serta urusan pengambilan.
Kesimpulan
Soalan psikometrik Pembantu Pendaftaran KP1 perlu dibaca dalam konteks amanah sebenar jawatan. Calon bukan sekadar dinilai sama ada ramah atau rajin. Mereka perlu menunjukkan corak yang menyokong integriti, kerahsiaan, ketelitian, prosedur, layanan adil, kestabilan emosi dan disiplin.
Pegang tiga perkara:
- Fahami tindakan utama dalam ayat.
- Bezakan nilai teras yang memerlukan pendirian tegas daripada pengalaman manusia yang perlu dijawab secara realistik.
- Kekalkan prinsip yang sama apabila soalan muncul dalam bentuk positif, negatif atau songsang.
Jika anda mahu berlatih menggunakan 200 contoh yang dihuraikan satu demi satu, lihat Rujukan Psikometrik Pembantu Pendaftaran KP1 Tim Infokerjaya.
Ditulis oleh Muaz Hadi, Tim Infokerjaya
Tim Infokerjaya menyediakan panduan persediaan kerja kerajaan, PSEE Psikometrik dan temu duga sejak 2009. Kandungan kami dibina untuk membantu calon memahami penilaian dengan lebih jelas, praktikal dan berasaskan rujukan rasmi.
Sumber Rasmi
- SPA: Pembantu Pendaftaran Gred KP1
- SPA: Penilaian Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE)
- JPA: Penghuraian Kerja Perkhidmatan Pembantu Pendaftaran
- Jabatan Pendaftaran Negara: Maklumat Bahagian