Tahniah!!!…Anda diantara ratusan ribu calon yang terpilih untuk ke sesi PTD Assessment Center (PAC) Februari ini. Ini bermakna, anda telah LULUS peperiksaan online Pegawai Tadbir Diplomatik M41 pada 19 Januari yang lalu. Ini satu kejayaan yang harus dibanggakan.
Semakan Panggilan Assessment Center
Anda boleh terus semak panggilan anda di
[+] http://www.spa.gov.my/web/guest/senarai-penjadualan-assessment-centre
Namun di tengah-tengah kegembiraan ini, anda harus menyiapkan diri untuk lalui satu sesi yang lebih mencabar fizikal dan mental anda iaitu sesi PAC. Sesi ini adalah peringkat tapisan seterusnya dimana calon yang lulus akan layak untuk ditemuduga.
Peringkat tapisan ini akan menguji anda daripada segi fizikal anda seperti ukuran berat badan, berlari, dan aktiviti yang melibatkan penggunaan tenaga anda. Manakala daripada segi mental, anda bakal diuji menggunakan fikiran untuk menjawab soalan, menyelesaikan masalah dan pelbagai bentuk ujian fikiran untuk melihat tahap pengetahuan dan kecerdasan mental anda. Oleh itu, untuk sesi PAC ini anda akan berdiri di atas kaki sendiri “totally on your own”.
Sesi PAC akan berlangsung di tempat khas yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Kebiasaannya PAC akan berlangsung di Institut Tadbir Negara (INTAN) selama 2 hari 1 malam. Namun ia bergantung kepada maklumat panggilan anda. Pastikan anda semak betul-betul maklumat panggilan anda supaya anda lebih bersedia dan tidak mengalami sebarang masalah pada hari PAC sebenar kelak. Bawa keperluan yang disenaraikan dan datang pada tarikh dan masa yang ditetapkan.
Apa Yang Dinilai di PAC?
Penilaian PAC merangkumi seperti berikut :
- Kerja Dalam Kumpulan (Group Work)
- Pengucapan Awam (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris)
- Penulisan Esei (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris)
- Ujian Psikologi
- Fitness
- Saringan Kesihatan
Bagi kerja dalam kumpulan, anda harus bersikap proaktif dalam menyelesaikan tugasan dalam kumpulan. Elakkan daripada bersikap pasif dan diam membisu. Berusaha untuk melontarkan idea, menjadi pendengar yang baik dan tonjolkan sikap kerjasama anda dalam kumpulan.
Pengucapan awam meguji kemahiran anda menyampaikan hujah dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Bagi pengucapan awam, selain daripada melihat kelancaran anda berhujah dalam kedua-dua bahasa ini, hujah anda mestilah mengandungi isi atau intipati yang baik. Berhujah tanpa isi kandungan sama sahaja seperti bercakap kosong. Akhiri pengucapan awam anda dengan rumusan yang baik dan pastikan anda patuhi masa yang ditetapkan.
Penulisan esei pula menguji tahap penulisan anda dan kelancaran anda berhujah melalui penulisan. Anda diberi soalan dan anda harus menjawab soalan dalam bentuk tulisan tangan. Oleh itu, pastikan tulisan tangan anda boleh dibaca dengan baik. Penulisan esei ini juga menguji anda menulis menggunakan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Ujian psikologi menguji kecerdasan mental anda. Ujian fitness menguji tahap kecerdasan anda dalam aktiviti fizikal seperti anda diminta berlari, melakukan senaman dan mengharungi rintangan. Manakala saringan kesihatan anda akan diuruskan oleh panel kesihatan yang dilantik oleh SPA sewaktu sesi PAC. Tiada ruang untuk anda sebagai calon PAC mengelak daripada menjalani setiap ujian ini. Nasihat kami, bersedia daripada segi mental dan fizikal anda lebih awal sebelum hadir ke PAC.
Apa Persediaan Untuk PAC?
Ya…masih ada masa untuk anda bersedia untuk PAC. Siap sedia fizikal anda supaya berada dalam keadaan baik. Elakkan daripada terseliuh anggota badan anda atau tercedera sebelum anda hadir ke sesi PAC. Bersenam, berjoging atau pergi ke gim untuk membiasakan diri anda sebelum anda diuji pada PAC nanti. Ini adalah salah satu bentuk persediaan yang anda boleh lakukan. Pastikan ia bukanlah jenis senaman yang berat yang boleh mencederakan otot kaki dan tangan anda. Simpan tenaga untuk diuji pada PAC nanti.
Keadaan cuaca sekarang yang agak panas memerlukan anda mengambil minuman air putih yang banyak supaya dapat mengekalkan kelembapan luar dan dalaman anda. Kekurangan air dalam badan anda boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti demam. Oleh itu, sebelum sesi PAC berlangsung, pastikan anda menjaga kesihatan anda dengan baik supaya anda tidak demam, sakit tekak dan gangguan kesihatan yang lain yang boleh mengurangkan kecergasan anda untuk menjalani sesi PAC.
Untuk berhujah dengan baik sama ada melalui pengucapan awam atau penulisan, anda haruslah mempunyai tahap pengetahuan yang tinggi. Semak isu-isu semasa yang berlaku dalam negara melalui pembacaan akhbar atau media massa untuk membantu tahap pengetahuan anda. Dalam erti kata lain bagaimana nak bina rumah yang besar jika batu bata yang ada tidak seberapa. Bagaimana mahu berhujah dengan baik jika tahap pengetahuan kita rendah. Tinggikan tahap pengetahuan melalui pembacaan anda.
Jika anda seorang yang pendiam dan tidak banyak bergaul, cabar diri anda untuk memulakan perbualan dengan kenalan baru. Ia adalah satu bentuk latihan diri untuk anda membina network. Berdiam diri dan tidak banyak bergaul dalam kumpulan akan menyukarkan sesi PAC anda nanti. Mulai hari ini, cuba untuk memulakan perbualan dengan bertanyakan soalan kepada kenalan baru.
Bagi kemahiran berkomunikasi, anda boleh praktis di rumah berhujah selama 10 minit dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sehingga lancar. Lancar bermakna anda tidak tersekat-sekat semasa menyampaikan hujah. Plan isi kandungan ucapan anda dan cuba untuk berhujah menggunakan isi yang telah anda tulis. Lakukan setiap masa yang anda selesa dan kami cadangkan anda berhujah di hadapan cermin untuk melihat diri anda sendiri berhujah.
Ini juga satu kaedah untuk anda meningkatkan keyakinan diri anda. Selalunya masalah keyakinan diri berpunca daripada diri sendiri iaitu bagaimana kita melihat diri kita sendiri. Dengan latihan berucap di hadapan cermin, anda boleh melihat diri anda sendiri dan boleh memperbaiki cara anda melihat diri anda.
Secara keseluruhannya, kami di Tim Infokerjaya mengucapkan sekali lagi tahniah kerana anda berjaya ke sesi PAC dan kami mendoakan kejayaan anda. Lakukan yang terbaik untuk mendapat keputusan yang terbaik.
Leave a Reply