Anda dipanggil ke temuduga PTD? Tahniah kepada yang berjaya dan tahniah juga kepada anda yang tidak dipanggil atas usaha anda sehingga berjaya ke sesi PAC yang lalu. Ambil kedua-dua situasi ini dalam sudut pandangan positif.
Ok, setelah lalui beberapa peringkat sehinggalah anda terpilih untuk menjawab Peperiksaan PTD Januari lalu, anda sememangnya layak untuk bergelar PTD. Oleh kerana terlalu ramai yang memohon dan jumlah kekosongan untuk diisi juga terhad, anda terpaksa bersaing. Ini lumrah. Anda perlu pandang ini juga daripada sudut yang positif.
Bagi anda yang tidak dipanggil ke temuduga PTD, ini bukan bermakna anda telah GAGAL. Tidak sama sekali. Banyak maklum balas yang kami terima di Tim Infokerjaya meluahkan rasa gembira mereka setelah mencuba berkali-kali hingga mereka berjaya menjawat jawatan PTD. Sikap positif beginilah yang mengekalkan momentum mereka untuk terus berusaha.
Anda harus ingat, jawatan PTD adalah salah satu jawatan berstatus ELITE dan sudah semestinya mereka yang terpilih juga harus mempunyai ciri-ciri ELITE dalam diri mereka. Jika mereka boleh, berkali-kali mencuba, sudah tentu anda juga boleh mengekalkan momentum yang sama. Cuma…persiapkan diri anda dengan rapi untuk hari temuduga nanti.
Baiklah, kami kongsikan maklumat untuk anda yang bakal menghadiri sesi temuduga PTD dalam masa terdekat ini. Sebelum anda mula menghafal apa-apa soalan, tips dan sebagainya, kami syorkan kepada anda untuk melihat sesi temuduga ini daripada sudut panel temuduga. Ini kerana mereka yang akan lakukan pemilihan dalam sejumlah yang ramai calon yang hadir.
1. Kenalpasti Kriteria Pemilihan
Cuba anda fikir, dalam ramai-ramai yang hadir sudah semestinya panel temuduga anda akan berhadapan dengan pelbagai jenis calon. Ada yang banyak bercakap, ada yang pemalu, ada yang diam membisu dan banyak lagi. Atas dasar itu, kriteria ELITE ditetapkan supaya mereka yang terpilih adalah yang betul-betul layak. Berdasarkan maklumat yang kami terima, kriteria penilaian adalah seperti berikut :
- CTI – Cepat, Tepat, Integriti
- FOL – Facilitate, Open Minded, Loyalty
- PCI – Productivity, Creativity, Innovation
Apakah maksud perkataan-perkataan ini? Inilah masanya anda menyusun diri anda selaras dengan kriteria-kriteria ini. Cari apa yang dimaksudkan oleh kriteria ini dan bentuk diri anda ke dalam kriteria ini. Ya…ia bukan mudah. Malah ia lebih sukar lagi jika anda tidak pernah mencuba untuk persiapkan diri anda ke arah ini. Jadi, ia berbaloi jika anda mencuba!
2. Persiapan Dokumen Lengkap
Jika anda seorang panel temuduga, calon hadir dengan selamba sahaja tanpa siap sediakan dokumen lengkap, apa perasaan anda? Begitu juga perasaan yang panel temuduga sebenar rasa. Ini meningkatkan kebarangkalian tinggi untuk menyingkirkan calon. Bercakap tentang dokumen lengkap, apakah dokumen yang perlu disediakan?
Kami syorkan kepada anda untuk siapkan satu senarai semak untuk memudahkan anda. Bermula daripada dokumen pengenalan diri sehinggalah ke pencapaian dalam pendidikan, aktiviti luaran dan pelbagai lagi. Ini adalah salah satu persediaan untuk anda menyelamatkan diri anda daripada disingkirkan dengan mudah oleh panel temuduga. Ingat! calon ramai, tempat kosong terhad.
3. Tinggalkan Aktiviti Kurang Menyihatkan Sementara Waktu
Apa itu aktiviti kurang sihat? Kami menjawab sudah tentulah aktiviti yang boleh menjejaskan kesihatan anda seperti merokok, tidur lewat malam dan sebagainya lagi. Jika berkeupayaan, terus tinggalkan dan pilih gaya hidup yang sihat. Ini supaya kita tidak terkesan dengan ‘Long Term Effect’.
Bagi anda yang merokok, hentikan aktiviti merokok dalam sehari dua sebelum hari temuduga anda. Ini bukan kisah lucu. Terdapat panel temuduga yang tidak merokok dan mereka amat peka terhadap bau asap rokok yang melekat pada baju anda. Jika anda tidak merokok, sudah tentu bau ini kurang menyenangkan anda. Begitu juga panel temuduga. Situasi ini membahayakan anda jika anda seorang perokok tegar.
Bagi anda yang suka tidur lewat malam, anda mempunyai masa tidur yang pendek untuk persediaan temuduga waktu pagi. Walaupun anda rasa segar setelah terbiasa tidur lewat, otak dan minda anda tidak beroperasi dengan baik. Anda mungkin segar, tetapi minda anda tidak. Jawapan yang anda bakal beri kepada panel temuduga juga boleh terkesan dengan amalan tidur anda ini.
4. Bersiap Sedia Dengan Pengetahuan Luar Bidang Anda
Tidak dinafikan lagi, jika anda seorang pelajar dalam bidang akauntan sudah pasti anda mahir dalam pengetahuan akauntan. Begitu juga seorang pelajar dalam bidang kejuruteraan, guaman dan lain-lain. Kuncinya disini, apa yang anda mahir kerangkalian yang tinggi tidak ditanya dalam temuduga. Ini cara mereka menguji tahap pengetahuan luar anda selain daripada bidang anda.
Sebagai seorang bakal PTD, anda harus peka terhadap isu di luar bidang anda. Ini memerlukan pengetahuan yang luas. Pengetahuan yang luas bermakna anda harus banyakkan pembacaan anda. Melalui pembacaanlah ilmu anda berkembang. Isu semasa dalam Malaysia dan isu semasa di luar negara yang memberi kesan kepada Malaysia boleh menjadi minat panel temuduga untuk menyoal anda. Jadi, bersiap sedia! Jika tidak banyak, sedikit pun jadilah untuk anda tahu.
Kami mengambil kesempatan di sini untuk menyoal anda tentang beberapa isu untuk anda fikirkan secara spontan. Ini untuk melihat sejauh mana anda mengambil tahu ilmu pengetahuan di luar bidang anda.
Setelah hampir setahun pelaksaan GST, bagaimanakah reaksi rakyat terhadap GST ini yang anda tahu?
TTPA membawa banyak kebaikan kepada negara membangun, apa itu TPPA? dan mengapakah TTPA mendapat tentangan daripada pelbagai pihak dalam proses pelaksanaannya?
Isu kemasukan imigran daripada negara jiran menyentuh hati sesetengah pihak. Pada pandangan anda, apakah kesan jangka masa panjang kemasukan imigran ini kepada negara kita?
5. Kekalkan Sahsiah Diri Positif Anda
Ini adalah antara persiapan diri anda untuk soalan yang berstatus SUSAH. Soalan ini tidak meminta anda memberi jawapan yang tepat, betul atau salah. Soalan jenis ini menguji tahap sahsiah diri anda dan pengetahuan yang tinggi. Ia sebenarnya memerah daya pemikiran anda menggunakan fikiran dan hati.
Anda perlu memilih sama ada anda ingin bersetuju atau tidak bersetuju dan lontarkan jawapan anda satu per satu menyokong pernyataan anda. Jika anda setuju, sokong jawapan anda dengan point untuk bersetuju. Jika anda tidak bersetuju, lontarkan point anda secara berhemah untuk menyokong pernyataan tidak setuju anda. Jangan pula, sekejap setuju dan sekejap tidak setuju.
Ini memberikan pandangan yang serong panel temuduga kepada anda. Anda mungkin dilabel sebagai seorang yang tidak tetap pendirian anda. Atau anda hanya hentam kromo saja jawapan yang anda berikan. Oleh itu, ambil masa untuk berifikir dan rangka jawapan anda.
Kami berharap dengan sedikit perkongsian ini dapat merangsang anda untuk timbul kesungguhan dalam melakukan persiapan untuk temuduga PTD dalam masa terdekat ini. Layakkah anda bergelar PTD? Ya…anda layak! Persiapkan diri dengan ilmu pengetahuan, bersihkah hati anda dan percaya kepada rezeki. Kami mendoakan kejayaan anda.
…
Ia adalah penting utk penemuduga tahu bahawa dia akan bekerja dengan pasukan atau jabatan jika ia dapat kerja tu melalui temuduga. Tunjukkan anda seorang yg mudah didekati dan mesra adalah sama penting dengan mempunyai kemahiran yang kuat.