Tips temuduga kerja kerajaan dan swasta
Setiap kali mendapat panggilan termuduga, calon-calon perlu membuat persediaan untuk menghadapi temuduga. Sama ada temuduga kerja kerajaan atau swasta, ia tidak mempunyai banyak perbezaan dari segi persiapan. Artikel tips temuduga kerja kerajaan dan swasta akan membantu anda untuk merangka dan merancang persediaan asas sebelum calon-calon hadir ke sesi temuduga tersebut.
1. Persediaan sebelum temuduga
Hadir di lokasi temuduga awal 30 minit sebelum temuduga dimulakan. Bawa surat panggilan temuduga jika diminta berbuat demikian. Masukkan dokumen-dokumen berkaitan ke dalam fail khas. Sertakan dokumen seperti berikut :
- Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR)
- Sijil berhenti sekolah
- Sijil penyertaan aktiviti di sekolah seperti sukan, unit beruniform dan persatuan atau kelab
- Mykad
- Sijil kelahiran
- Sijil kemahiran
2. Menjelang temuduga kerja
Tertakluk kepada jabatan atau syarikat yang bakal anda hadiri, beri perhatian kepada perkara-perkara yang berikut :
- Berpakaian dengan kemas, pakai baju lengan panjang dan seluar slack berwarna gelap. Pastikan ianya bergosok sebelum anda ke sesi temuduga.
- Gilap kasut sarung dan pakai stoking. Elakkan daripada memakai kasut sukan yang berbelang dan berwarna-warni.
- Bagi calon lelaki, sikat rambut dengan kemas dan berambut pendek.
- Misai dan jambang hendaklah dikemaskan dengan rapi.
- Elakkan daripada mewarnakan rambut.
- Bagi calon wanita beragama Islam, pakai tudung biasa yang tidak berbelit-belit. Pilih warna lembut dan elakkan memakai tudung yang berwarna-warni.
3. Sebelum masuk ke bilik temuduga
Selepas membuat persiapan untuk menghadapi temuduga, ada lagi perkara yang perlu anda lakukan. Lapor diri pada staf yang bertugas dan tunggu nama anda dipanggil masuk. Sebelum masuk ke bilik temuduga, ketuk pintu dahulu. Masuk apabila anda diizinkan untuk berbuat demikian. Tutup pintu dengan perlahan-lahan sambil berjalan ke arah kerusi temuduga. Duduk setelah diarahkan.
Gaya duduk anda mestilah dengan kedudukan tegak, tangan berada di atas paha dan kaki dalam keadaan lurus. Elakkan duduk dengan gaya kaki bersilang, duduk bersandar sambil menongkat dagu, dan duduk dalam keadaan membongkok. Semasa berada dalam bilik temuduga, jangan bawa barang-barang seperti beg galas, topi keledar dan barang yang boleh mengganggu perjalanan temuduga anda.
4. Semasa anda ditemuduga
Berikan fail-fail kepada panel penemuduga dengan menghulurkan kepada mereka. Tunggu sehingga mereka ambil dan jangan sekadar meletakkan di atas meja. Pastikan fail tersebut diisikan dengan dokumen asal berkaitan dengan diri dan maklumat akademik anda. Bercakaplah dengan nada sopan yang teratur dan jelas. Jawab setiap soalan setelah penemuduga selesai bercakap.
Setiap soalan temuduga hendaklah dijawab dengan fakta yang jelas dan ringkas, bukan meleret-leret sampai lari dari skop soalan yang dipinta. Selarikan jawapan anda dengan air muka yang beradab dan menampilkan emosi yang ceria. Elakkan daripada menjawab terlalu kuat sehingga menimbulkan situasi yang tegang semasa temuduga.
5. Selepas anda selesai ditemuduga
Tunjukkan sikap berbudi bahasa anda dengan mengucapkan terima kasih kepada panel penemuduga. bangun dan gerakkan kerusi tanpa ada sebarang bunyi. Ambil semula dokumen asal anda sebelum keluar. Keluar dari bilik dengan sopan dan tutup kembali pintu dengan perlahan. Usah membuat bising di luar bilik temuduga.
Sumber asal artikel ini dirujuk dari laman Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Perak.
Leave a Reply