5 tips mudah langsaikan PTPTN
Ramai pihak mengatakan pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengamalkan kaedah bayaran riba dalam operasinya. Ini dinafikan oleh pengerusi PTPTN sendiri, Datuk Shamsul Anuar Nasarah. PTPTN mengamalkan pinjaman yang mematuhi syariah.
Ia telah diiktiraf oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam sejak Jun 2008 lagi. PTPTN mengambil upah (ujrah) sebanyak 1% atas kadar rata. Ia bukan dilakukan atas dasar keuntungan tetapi untuk membiayai kos pengurusan dan pentadbiran setiap pelajar yang membuat pinjaman.
Sekiranya anda membuat pinjaman PTPTN berjumlah RM20,000 dalam masa 10 tahun, upah yang dikenakan ialah RM16.67 sebulan. Setahun berjumlah RM200.04 sahaja. Tidak ada institusi kewangan lain yang mengenakan caj yang lebih rendah dari PTPTN. Jika peminjam membayar balik dalam masa 6 bulan selepas tamat belajar, tiada sebarang caj dikenakan.
Peminjam yang mendapat keputusan kelas pertama akan dikecualikan daripada membayar balik pinjaman PTPTN.
Waktu untuk membayar semula PTPTN
Pinjaman pelajaran dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) wajib dibayar selepas 6 bulan anda menamatkan pelajaran di IPTA atau IPTS yang terpilih. Wang yang anda jelaskan semula pada pihak PTPTN dapat digunakan untuk membiayai pendidikan mahasiswa dan mahasiswi yang memerlukannya untuk tujuan pendidikan.
Kami di Tim Infokerjaya mahu anda sama-sama tahu perkara ini dan kongsikannya kepada sahabat yang lain sebagai satu peringatan dan kesedaran untuk membayar semula pinjaman PTPTN yang telah diberikan semasa belajar dahulu.
1. Potong gaji bulanan. Anda boleh mohon pemotongan gaji secara bulanan dengan secara berkala. Dapatkan borang di www.ptptn.gov.my dan isikan nama dan alamat majikan anda. Kemudian hantarkan kepada PTPTN semula.
2. Bayar guna internet. Pastikan anda memiliki akaun bank seperti Maybank, CIMB, Ambank, Public Bank, RHB, Bank Islam, BSN dan Bank Rakyat untuk memudahkan urusan pembayaran semula PTPTN. Jadi anda sudah tak perlu keluar pejabat untuk berurusan dengan PTPTN.
3. Guna akaun 2 KWSP. Sekian lama anda bekerja, pasti ada caruman KWSP dalam akaun 1 dan 2. Untuk pembayaran semula PTPTN, anda boleh keluarkan wang di akaun 2 bagi melangsaikan hutang PTPTN anda. Rujuk portal rasmi di www.ptptn.gov.my untuk melihat syarat-syaratnya.
4. Bayar di kaunter PTPTN. Ada kaunter PTPTN yang dibuka di sekitar Kuala Lumpur di kompleks membeli-belah. Anda boleh bayar guna kad debit atau ATM anda tanpa perlu bawa wang tunai. Mereka sudah siapkan kelengkapan untuk menerima pindahan wang dari kad anda.
5. Bayar di portal PTPTN. Lihat sahaja portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my dan daftar untuk mulakan pembayaran. Di sini anda boleh semak baki hutang PTPTN anda.
Leave a Reply