Kerja tak siap sebab asyik bertangguh
Adakalanya kerja sudah ada hingga bersusun-susun. Senarai kerja yang harus diselesaikan mengikut keutamaan juga sudah dibuat. Persoalannya ialah mengapa kerja tersebut ditangguhkan? Kalau boleh selesaikan awal pastinya ia akan siap cepat. Selepas satu kerja siap anda boleh teruskan dengan kerja yang lain. Kerja tak siap sebab asyik bertangguh akan memburukkan lagi pengurusan kerja anda.
Bermacam-macam strategi sudah dibuat. Di antaranya ialah mengatur jadual, paksa diri dan letakkan tarikh akhir. Biar pun 3 tips tersebut telah dilakukan, ada satu persoalan penting yang perlu anda fikirkan. Mengapa anda tangguhkan kerja tersebut? mengapa tak lakukan sekarang? Apa sebab anda nak tangguhkan kerja yang boleh membawa kebaikan kepada anda?
Pelan tindakan elak bertangguh
Terdapat beberapa tindakan yang boleh membantu anda untuk membuat penyelesaian iaitu :
1. Gerakkan motivasi. Kalau tiada motivasi dalam diri, maka anda harus wujudkan motivasi tersebut. jika anda sekadar duduk dan tunggu ianya datang, sampai bila pun anda takkan bergerak.
2. Bertindak. Bangun dan gerakkan tubuh anda untuk bertindak. Jika anda mula bergerak, bahagian tubuh yang lain akan ikut bersama untuk bertindak.
3. Tukar prinsip. Jika anda kerap berkata “kemudianlah, nantilah, tunggulah”, tukarkan ia kepada “baiklah, saya buat sekarang”. Mula-mula memang sukar, lama kelamaan anda akan biasa.
Sikap malas menghasilkan masalah baru
Bertangguh boleh dikategorikan sebagai sikap malas. Mengapa dikatakan malas? Ya, kerana tidak mahu menyelesaikan kerja yang telah ada dengan segera. Contoh paling mudah ialah malas mengemas rumah. Jika diselesaikan segera, keadaan rumah akan jadi bersih dari sebarang kotoran. Jika ianya ditangguhkan, rumah akan bertambah kotor. Lebih buruk lagi kotoran yang ada akan membawa penyakit kepada anda.
Punca suka bertangguh
Terdapat 2 punca utama sikap bertangguh ini bersarang dalam diri iaitu :
1. Kurang keinginan. Faktor ini terjadi akibat melakukan perkara yang tidak disukai. Barangkali kerja atau tugasan yang diberikan pada individu tersebut tidak menarik minatnya. Oleh itu pendekatan minat dalam menjalankan sesuatu tugasan hendaklah diterapkan. Oleh itu belajarlah untuk suka dengan kerja atau tugasan yang diberikan supaya sikap bertangguh dapat dielakkan.
2. Takut. Kenapa ada rasa takut? Pernahkah anda berasa takut? Takut tidak dapat membuat kerja dengan baik, takut kepada kegagalan atau takut tidak memberi hasil seperti yang diharapkan. Jika anda berasa takut, anda seharusnya memberanikan diri bagi menyelesaikan kerja yang diberikan. Rasa takut itu mungkin tidak dapat dihilangkan tetapi ianya boleh dikurangkan.
Sikap bertangguh lebih banyak memberi kesan yang negatif berbanding positif. Semak kembali apa perkara yang membuatkan anda gemar bertangguh. Sesudah anda menjumpai puncanya, carilah jalan keluar bagi mengelakkan diri daripada terus menangguhkan kerja.
noob lh ko