Tiada salahnya bekerja kerana wang
Boleh dikatakan ramai orang bekerja untuk mendapatkan wang. Bermula dengan seorang pelajar lepasan SPM dan graduan yang baru tamat pelajaran, kesemuanya akan mencari peluang-peluang pekerjaan untuk mendapatkan wang. Wang bukanlah segala-galanya, namun hampir semua perkara memerlukan wang. Jadi tiada salahnya bekerja kerana wang.
Hari ini bukan semua perkara yang kita mahukan boleh didapati secara percuma. Bermula dengan makanan, minuman, pakaian, bahan api dan bahan bacaan semuanya memerlukan wang untuk memilikinya. Kita beli barang dari orang perlukan wang, kita beri barang pada orang pun kena keluarkan wang.
Bagi barang pun kena bayar? Ya, buang sampah pun kena bayar, beri pada syarikat yang mengutip sampah tersebut. Masuk ke tandas untuk buang air pun bukannya percuma. Keadaan ekonomi yang kita hadapi pada hari ini tidak sama dengan 10 tahun dahulu, jauh bezanya dengan zaman ibu bapa dan datuk nenek kita.
Kita hisab kembali diri kita. Apa tujuan asal kita bekerja? Jika kita berkhidmat di sebuah syarikat penerbitan media, adakah hasil yang diterbitkan memberi manfaat kepada masyarakat? Apa nilai perkara yang kita sumbangkan selama ini berupaya meningkatkan taraf kehidupan hari ini?
Kita senaraikan kembali apa kebaikan yang bakal kita dapat apabila bekerja demi mendapatkan wang :
1. Menyara keluarga, anak dan isteri serta ibu bapa.
2. Disimpan dalam bank, tabung haji atau amanah saham.
3. Dilaburkan kepada unit amanah.
4. Membayar caruman takaful.
5. Melunaskan bil elektrik, air dan selenggara rumah.
6. Membayar sewa atau belian rumah.
7. Menjelaskan bayaran kereta dan minyak.
8. Membayar cukai dan zakat.
9. Membayar pinjaman pelajaran seperti PTPTN.
10. Bersedekah.
Bukan sesuatu yang buruk apabila kita bekerja demi mendapatkan wang. Namun ianya akan menjadi suatu perkara yang positif jika kita bekerja untuk memenuhi tuntutan ibadah. Bila kita meletakkan kerja sebagai satu ibadah, maka urusan-urusan yang kita lakukan selama ini akan menjadi lebih sistematik kerana kita tahu apa tujuan sebenar kita bekerja, bukan kerana mengejar wang semata-mata.
Leave a Reply