Cara pasarkan diri menerusi resume
Apabila anda sudah mengenal pasti badan korporat atau jabatan kerajaan yang menawarkan peluang pekerjaan idaman anda, sudah sampai masanya untuk anda pasarkan diri. Bagaimana nak pasarkan diri? Biar kami bantu anda cara pasarkan diri menerusi resume. Bukan barang-barang saja yang perlu dipasarkan, diri anda juga perlu dipasarkan dengan cara yang betul.
Cara pasarkan diri anda harus dimulakan dengan menghantar resume kepada syarikat atau jabatan tersebut. beritahu pada mereka tentang kebolehan, kemahiran dan pengetahuan serta perkara-perkara berkaitan diri anda yang memenuhi kriteria mereka. Anda perlu memahami apa yang bakal majikan anda perlukan.
Terdapat 3 perkara penting yang perlu anda perhatikan iaitu :
- Kelulusan yang majikan perlukan.
- Pengetahuan, pengalaman dan kemahiran yang berkaitan.
- Sikap peribadi yang berkaitan dengan jawatan yang ditawarkan.
Tampilkan nilai diri menerusi bukti
Ketika anda dipanggil ke sesi temuduga, tunjukkan bukti pencapaian anda dengan jelas. Ia perlu meliputi kesemua perkara yang diperlukan dengan posisi jawatan yang diiklankan. Anda boleh tunjukkan ia menerusi gambar, video atau pembentangan multimedia menggunakan Microsoft PowerPoint. Jarang sekali calon membawa komputer riba untuk membentangkan bukti kerja mereka kepada majikan.
Semasa temuduga berlangsung, anda harus memberitahu bakal majikan bagaimana anda boleh memberikan sumbangan kepada kemajuan syarikat atau jabatan tersebut. Anda harus beritahu bakal majikan bagaimana untuk menambah pendapatan atau menjimatkan perbelanjaan mereka menerusi kerja atau tugasan yang anda lakukan.
Cara yang paling berkesan untuk memasarkan diri anda ialah menghasilkan resume yang berpengaruh. Penulisan resume yang baik akan membawa anda ke tapisan temuduga. Sekiranya tawaran yang anda berikan pada bakal majikan memenuhi kriteria yang mereka perlukan, maka peluang untuk anda mengisi jawatan tersebut terbuka luas.
Cara mengenal pasti kebolehan anda
Anda boleh mengenal pasti kebolehan yang dimiliki menerusi beberapa cara. Pertama, belajar untuk menceritakan semula aktiviti anda 24 jam yang lepas. Di sini anda akan menggunakan kemahiran untuk mengingat dan kemahiran untuk menjelaskan sesuatu cerita. Anda boleh gunakan kedua-dua perkara ini untuk menceritakan semula pencapaian anda dalam kerjaya sebelum ini.
Perhatikan apakah fungsi dan tugas yang perlu anda lakukan dalam kerjaya sebelum ini. Ingat kembali apakah perkara yang membuatkan anda gembira semasa bekerja dengan majikan terdahulu. Terangkan sekali apakah pelajaran baru yang anda perolehi semasa menjalankan tugasan tersebut. bagaimana pula dengan emosi anda ketika itu? Adakah anda menyelesaikannya dalam keadaan tertekan atau gembira?
Perkara yang paling utama ialah pencapaian anda. Senaraikan kejayaan-kejayaan yang anda miliki semasa bekerja dengan majikan terdahulu. Ini akan dapat membantu anda memenangi hati bakal majikan semasa temuduga. Buat senarai objektif kerjaya anda di dalam resume menggunakan cara menghasilkan resume yang berpengaruh.
Suami saya pun suka sangat la update resume ni..sebab katanya resume la cara kita nak ‘jual’ diri kita..biar comoany yang review kagum..