Situasi ini selalu membuatkan calon keliru. Ada juga yang salah faham. Pernah buka SPA9, nampak status permohonan sudah berubah, kemudian terus tertanya-tanya:
“Status ini maksudnya aku akan dipanggil temu duga ke?”
Ada calon nampak perkataan melepasi syarat lalu menganggap panggilan sudah hampir.
Ada pula yang mendapat keputusan calon simpanan, tetapi terus rasa dirinya gagal.
Jangan terlalu cepat membuat kesimpulan.
Sebenarnya, setiap status dalam SPA9 merujuk kepada peringkat yang berbeza. Kalau salah faham maksudnya, kita boleh berharap terlalu awal atau kecewa tanpa sebab.
Sejak 2009, antara kekeliruan yang sering kami lihat dalam kalangan calon ialah mereka membaca satu ayat status tanpa memahami peringkat pengambilan yang sedang berlaku.
Dalam artikel ini, Tim Infokerjaya menerangkan maksud status permohonan SPA9 dalam bahasa yang mudah. Kami juga tunjukkan tindakan yang patut dibuat selepas menerima setiap status.
Jawapan Ringkas: Apa Maksud Status Permohonan SPA9?
Melepasi syarat bermaksud calon memenuhi syarat atau asas tapisan bagi urusan tersebut. Ia belum menjamin panggilan temu duga.
Tidak melepasi syarat bermaksud calon tidak memenuhi syarat atau tapisan bagi urusan itu.
Calon simpanan pula bermaksud calon telah dinilai dalam temu duga dan ditempatkan dalam senarai simpanan. Pelantikan bergantung pada ranking, kekosongan dan tempoh sah simpanan.
Status gagal bermaksud calon tidak berjaya pada peringkat yang dinyatakan. Ia tidak bermaksud calon disenarai hitam.
Isi Kandungan
KLIK UNTUK LIHAT SENARAI TAJUK
- Jawapan Ringkas
- Jangan Baca Status Tanpa Lihat Nombor Urusan
- Maksud Melepasi Syarat SPA9
- Maksud Tidak Melepasi Syarat SPA9
- Maksud Lulus atau Tidak Melepasi PSEE
- Maksud Calon Simpanan
- Maksud Status Berjaya Temuduga
- Maksud Status Gagal Dalam SPA9
- Cara Semak Status Permohonan SPA9
- Kesilapan yang Selalu Dibuat
- Soalan Lazim
- Kesimpulan
- Sumber Rasmi

| Status | Maksud mudah | Apa perlu dibuat? |
|---|---|---|
| Melepasi syarat | Memenuhi syarat atau tapisan urusan | Tunggu dan semak panggilan PSEE atau ujian |
| Tidak melepasi syarat | Tidak memenuhi syarat atau tapisan bagi urusan itu | Semak kelayakan, bidang dan maklumat akademik |
| Lulus PSEE atau ujian | Melepasi penilaian yang ditetapkan | Semak penjadualan temu duga |
| Tidak melepasi PSEE | Skor merit belum mencukupi bagi urusan itu | Perbaiki persediaan untuk urusan seterusnya |
| Calon simpanan | Layak dipertimbangkan mengikut ranking | Semak ranking dan tempoh sah simpanan |
| Berjaya temu duga | Dipilih untuk tawaran pelantikan | Ikuti arahan dalam e-mel, SPA9 atau MySTP |
| Gagal temu duga | Tidak dipilih bagi urusan tersebut | Nilai semula persediaan dan mohon urusan lain |
Jangan Baca Status Tanpa Melihat Nombor Urusan
Sebelum kita pergi lebih jauh, faham satu perkara dahulu.
Status dalam SPA9 biasanya berkait dengan jawatan dan nombor urusan tertentu. Ia bukan keputusan kekal terhadap akaun anda.
Contohnya, anda boleh melepasi syarat bagi satu urusan Pembantu Tadbir tetapi tidak melepasi syarat bagi urusan lain.
Nama jawatannya mungkin sama, tetapi syarat tapisan boleh berubah mengikut keperluan kementerian, jabatan atau agensi.
Sebab itu jangan lihat perkataan tidak melepasi sahaja. Semak sekali:
- Nama jawatan
- Gred jawatan
- Kementerian atau jabatan
- Nombor urusan
- Peringkat keputusan yang dinyatakan
Keputusan bagi satu urusan tidak semestinya menentukan nasib semua permohonan anda.
1. Maksud Melepasi Syarat SPA9
Status seperti “Melepasi Syarat-Syarat Semasa Yang Ditetapkan Oleh Suruhanjaya” membawa maksud anda memenuhi syarat atau asas tapisan yang digunakan bagi urusan pengambilan tersebut.
Ini berita yang baik.
Tetapi jangan terus anggap anda sudah pasti dipanggil temu duga.
Di Tim Infokerjaya, kami selalu ingatkan calon:
Melepasi syarat ialah lampu hijau untuk bergerak ke peringkat seterusnya, bukan surat tawaran kerja.
Menurut SPA, calon perlu melepasi syarat skim perkhidmatan dan syarat tapisan sebelum boleh dipanggil ke PSEE atau ujian.

Panggilan temu duga pula hanya dikeluarkan kepada calon yang lulus PSEE atau ujian berkaitan.
Maksudnya, perjalanan anda mungkin masih begini:
Melepasi syarat → PSEE atau ujian → lulus penilaian → temu duga
Adakah Melepasi Syarat Bermaksud Pasti Dipanggil?
Tidak semestinya.
Status ini menunjukkan anda sudah melepasi satu pintu. Selepas itu mungkin masih ada penilaian lain, bergantung pada jawatan dan urusan pengambilan.
Jumlah kekosongan dan bilangan calon juga memainkan peranan.
Bagi PSEE Psikometrik, SPA menjelaskan bahawa penentuan calon mengambil kira skor merit, jumlah kekosongan dan bilangan calon yang menduduki penilaian.
Jadi, jangan terus beli baju temu duga hanya kerana nampak perkataan “melepasi syarat”.
Boleh mula bersedia, tetapi tunggu panggilan rasmi.
Apa Perlu Dibuat Selepas Melepasi Syarat?
- Pastikan alamat e-mel dalam SPA9 masih aktif.
- Semak folder Inbox, Promotions, Social, Spam dan Junk.
- Semak Portal Rasmi SPA serta status permohonan dari semasa ke semasa.
- Mulakan persediaan PSEE walaupun tarikh belum diumumkan.
- Jangan menekan
Hantar Perakuanberulang kali jika tiada perubahan maklumat.
Anda boleh membaca panduan kenapa SPA9 tidak dipanggil temuduga untuk memahami keseluruhan proses selepas permohonan dihantar.
Nasihat kami mudah. Bersedia lebih awal, tetapi hanya percaya pada panggilan dan keputusan rasmi.

2. Maksud Tidak Melepasi Syarat SPA9
Status “Tidak Melepasi Syarat-Syarat Semasa Yang Ditetapkan Oleh Suruhanjaya” bermaksud permohonan anda tidak memenuhi syarat atau asas tapisan bagi urusan tersebut.
Perkataan paling penting di sini ialah urusan tersebut.
Ia tidak bermaksud akaun anda rosak. Ia juga tidak bermaksud anda tidak layak memohon kerja kerajaan selama-lamanya.
Kami faham status ini memang mengecewakan.
Namun, calon perlu membezakan antara tidak layak untuk semua jawatan dengan tidak melepasi syarat bagi satu urusan tertentu.
Dua perkara ini tidak sama.
Antara perkara yang boleh menyebabkan calon tidak melepasi syarat ialah:
- Bidang pengajian tidak sepadan
- Kelayakan akademik tidak memenuhi syarat
- PNGK atau CGPA tidak mencapai tahap minimum, jika kriteria tersebut ditetapkan bagi urusan berkenaan
- Gred mata pelajaran tertentu tidak mencukupi
- Syarat Bahasa Melayu tidak dipenuhi
- Maklumat akademik dalam SPA9 tidak lengkap atau tidak tepat
- Syarat fizikal, lesen atau profesional tidak dipenuhi
- Tidak melepasi asas tapisan tambahan kementerian atau jabatan
SPA menjelaskan bahawa status tidak melepasi syarat boleh berlaku apabila calon tidak memenuhi syarat skim perkhidmatan atau syarat khusus yang ditetapkan oleh kementerian, jabatan atau agensi.
Syarat khusus itu boleh melibatkan:
- Gred subjek tertentu
- Bidang pengkhususan
- Lokaliti
- Jantina
- Lesen
- Keperluan fizikal
- Kriteria lain mengikut keperluan perkhidmatan
Syarat tapisan juga boleh berubah mengikut keperluan semasa pihak yang memohon pengisian jawatan.
Kenapa Dahulu Lepas, Kali Ini Tidak Lepas?
Ini boleh berlaku.
Walaupun nama jawatan sama, urusan pengambilan mungkin melibatkan kementerian, lokasi, bilangan kekosongan dan keperluan yang berbeza.
Tapisan yang digunakan juga tidak semestinya sama.
Jangan terus bandingkan keputusan sekarang dengan tangkapan skrin lama atau pengalaman orang lain.
Kawan anda mungkin memohon jawatan yang sama, tetapi nombor urusan dan keperluan jabatan berbeza.
Apa Perlu Dibuat Jika Tidak Melepasi Syarat?
Semak perkara berikut:
- Baca semula syarat lantikan jawatan pada Portal Rasmi SPA.
- Pastikan bidang dan nama kelayakan dimasukkan dengan betul.
- Semak keputusan SPM, diploma atau ijazah yang dipaparkan.
- Pastikan anda memohon gred yang sesuai dengan dasar One Step Lower.
- Semak syarat Bahasa Melayu, lesen dan syarat fizikal jika berkenaan.
- Simpan salinan sijil dan transkrip untuk rujukan.
- Hubungi SPA jika terdapat perbezaan nyata antara rekod sistem dengan dokumen sebenar.
Kalau anda masih keliru memilih jawatan, rujuk panduan jawatan kerajaan mengikut kelayakan dan cara mengisi SPA9 dengan betul.
3. Maksud Lulus atau Tidak Melepasi PSEE
Selepas melepasi syarat, sebahagian calon akan dipanggil menduduki PSEE atau ujian berkaitan.
Status lulus PSEE menunjukkan anda telah melepasi penilaian bagi urusan tersebut dan layak dipertimbangkan untuk peringkat seterusnya.
Langkah selepas itu ialah menyemak penjadualan temu duga atau arahan lain yang ditetapkan.
Status tidak melepasi tahap penilaian pula bermaksud anda belum mencapai merit yang diperlukan bagi urusan itu.
Untuk PSEE Psikometrik, ia bukan semata-mata soal berapa banyak jawapan yang kelihatan positif.
Penilaian melihat kesesuaian calon dengan pekerjaan, organisasi dan kerja berpasukan.
SPA turut menyatakan bahawa keputusan mengambil kira:
- Skor merit calon
- Jumlah kekosongan
- Bilangan calon yang menduduki PSEE
Jadi, dua calon boleh menjawab ujian yang sama tetapi berada pada kedudukan merit yang berbeza.
Adakah Tidak Melepasi PSEE Bermaksud Jawapan Banyak Salah?
Tidak semestinya.
PSEE Psikometrik tidak dinilai seperti peperiksaan Matematik yang mempunyai satu jawapan betul bagi setiap soalan.
Penilaian melihat corak jawapan, kecenderungan personaliti dan tahap kesesuaian calon dengan jawatan.
Sebab itu menghafal jawapan tanpa memahami perkara yang dinilai bukan strategi yang baik.
Calon juga perlu berhati-hati dengan nasihat mudah seperti:
“Jawab positif sahaja, mesti lulus.”
Tidak semudah itu.
Ada soalan yang menilai integriti, disiplin, kestabilan emosi, kerja berpasukan dan kesesuaian dengan tugas. Jawapan perlu dibaca dalam konteks soalan dan jawatan.
Jika bakal menduduki penilaian, anda boleh mulakan dengan contoh soalan psikometrik SPA dan fahami cara menjawab psikometrik SPA dengan konsisten.
4. Maksud Calon Simpanan SPA
Ramai calon nampak perkataan simpanan lalu menganggap ia bahasa lembut untuk gagal.
Sebenarnya tidak.
Kalau keputusan anda calon simpanan, jangan terus tutup buku. Anda belum menerima tawaran, tetapi peluang itu masih hidup.

Calon simpanan ialah calon yang telah dinilai dalam temu duga dan diletakkan dalam senarai simpanan mengikut Turutan Keutamaan atau ranking yang diluluskan SPA.
Anda belum menerima pelantikan serta-merta, tetapi masih boleh ditawarkan jawatan jika:
- Terdapat keperluan mengisi kekosongan
- Kementerian, jabatan atau agensi memohon calon tambahan
- Ranking dan kriteria anda sepadan dengan keperluan
- Tempoh sah calon simpanan belum tamat
Adakah Calon Simpanan Pasti Akan Dilantik?
Tidak ada jaminan.
Peluang itu wujud, tetapi pelantikan bergantung pada kekosongan dan keperluan sebenar pihak berkenaan.
Sebab itu calon simpanan perlu melihat dua maklumat penting dalam SPA9:
- Kedudukan atau ranking
- Tarikh tamat tempoh sah simpanan
Menurut SPA, kedua-dua maklumat ini boleh disemak melalui:
Semakan Permohonan → Status Permohonan → Status Permohonan Semasa
Pilih jawatan dan nombor urusan yang berkaitan.
Kenapa Calon Ranking Lebih Bawah Ditawarkan Dahulu?
Perkara ini memang boleh berlaku.
SPA menjelaskan bahawa pelangkauan ranking boleh berlaku apabila kementerian atau jabatan memerlukan calon berdasarkan:
- Lokaliti
- Syarat lesen
- Jantina
- Keperluan fizikal
- Kriteria lain yang berkaitan
Jadi, ranking bukan satu-satunya perkara yang menentukan turutan tawaran.
Contohnya, calon ranking ke-10 mungkin memenuhi keperluan lokaliti atau lesen tertentu yang tidak dimiliki calon pada ranking lebih atas.
Ini bukan semestinya kesalahan sistem.
Adakah Kemas Kini SPA9 Membatalkan Status Calon Simpanan?
Tidak, selagi status calon simpanan masih dalam tempoh sah.
FAQ SPA9 menjelaskan bahawa kemas kini permohonan tidak menjejaskan status calon simpanan yang masih sah.
Namun, calon tetap perlu berhati-hati ketika mengubah maklumat dalam SPA9. Semak dahulu sebelum menghantar Perakuan Pemohon.
5. Maksud Status Berjaya Temu Duga
Status berjaya temu duga bermaksud anda telah dipilih untuk tawaran pelantikan bagi urusan tersebut.
Jangan berhenti setakat membaca keputusan.
Calon yang berjaya perlu menyemak:
- E-mel yang didaftarkan dalam SPA9
- Menu Semakan Permohonan
- Pautan Sistem Tawaran Pelantikan atau MySTP
- Arahan serta tempoh tindakan dalam surat tawaran
Tawaran pelantikan mempunyai tindakan dan tempoh tertentu.
Baca semua arahan, lengkapkan maklumat kesihatan serta Akuan Berkanun jika diminta, dan jangan menunggu hingga hari terakhir.
Berjaya temu duga belum bermaksud anda boleh menutup e-mel dan tunggu tarikh melapor diri sahaja.
Ada beberapa tindakan yang perlu diselesaikan sebelum proses pelantikan lengkap.
6. Maksud Status Gagal Dalam SPA9
Perkataan gagal perlu dibaca bersama nama peringkatnya.
Ini satu lagi perkara yang kami mahu calon pegang:
Gagal dalam satu urusan bukan bermaksud gagal untuk seluruh perjalanan mendapatkan kerja kerajaan.
Ada perbezaan antara:
- Gagal atau tidak melepasi PSEE
- Gagal ujian fizikal atau penilaian lain
- Gagal temu duga
Jika anda gagal PSEE, anda tidak mara ke temu duga bagi urusan tersebut.
Jika anda gagal temu duga, anda tidak berjaya dipilih untuk pelantikan bagi urusan tersebut..
Namun, keputusan tersebut bukan bermaksud anda disenarai hitam.
SPA juga menyatakan calon yang tidak menghadiri temu duga tidak disenarai hitam. Begitu juga calon yang menolak tawaran pelantikan.
Maksudnya, anda masih boleh memohon jawatan lain dan menyertai urusan pengambilan seterusnya selagi memenuhi syarat.
Apa Perlu Dibuat Selepas Gagal Temu Duga?
Jangan sekadar berkata, “Belum ada rezeki,” kemudian ulang persediaan yang sama.
Nilai semula perkara berikut:
- Sejauh mana anda memahami tugas jawatan
- Cara memperkenalkan diri
- Pengetahuan tentang kementerian atau jabatan
- Contoh pengalaman yang diberikan
- Susunan dokumen
- Bahasa badan dan keyakinan
- Cara menjawab soalan situasi
Gunakan keputusan itu sebagai data untuk memperbaiki percubaan seterusnya.
Bagi kami, kegagalan hanya berguna apabila calon tahu bahagian yang perlu diperbetulkan.
Panduan soalan temuduga SPA yang selalu ditanya boleh dijadikan titik mula.
Cara Semak Status Permohonan SPA9
Untuk menyemak status terkini:
- Log masuk ke Sistem SPA9.
- Pilih menu
Semakan Permohonan. - Pilih
Status Permohonan. - Buka
Status Permohonan Semasa. - Cari jawatan dan nombor urusan yang berkaitan.
Semak juga Semakan Online SPA bagi penjadualan serta keputusan PSEE, ujian dan temu duga.
Jangan bergantung pada e-mel sahaja.
SPA menggunakan e-mel, portal rasmi, Facebook rasmi SPA dan status dalam SPA9 sebagai saluran pemakluman.
Kesilapan Yang Selalu Dibuat Selepas Status Berubah
1. Menganggap Melepasi Syarat Sama Dengan Lulus Temu Duga
Melepasi syarat biasanya bermaksud anda layak bergerak ke tapisan atau penilaian seterusnya.
Ia bukan keputusan akhir.
2. Mengubah Permohonan Kerana Panik
Jangan tekan Hantar Perakuan setiap kali log masuk jika tiada perubahan.
SPA menyatakan tindakan terlalu kerap boleh menjejaskan urusan tapisan dan menyebabkan permohonan terdahulu terbatal.
3. Menganggap Calon Simpanan Sudah Gagal
Calon simpanan masih mempunyai peluang.
Semak ranking dan tarikh sah sebelum membuat kesimpulan.
4. Membandingkan Status Dengan Calon Lain
Nombor urusan, syarat tapisan, kelayakan dan keperluan jabatan mungkin berbeza.
Status kawan anda bukan penanda aras mutlak untuk permohonan sendiri.
5. Menunggu E-mel Sahaja
Periksa juga Spam, Junk, Promotions, Portal SPA dan status dalam SPA9.
E-mel boleh terlepas. Semakan sendiri masih perlu dibuat.
Soalan Lazim Tentang Status Permohonan SPA9
Tiada tempoh tetap yang sesuai digunakan untuk semua urusan.
Perubahan bergantung pada proses pengambilan, penjadualan PSEE atau ujian dan keperluan kementerian atau jabatan.
Anda mungkin masih menunggu penjadualan, belum dipilih untuk PSEE atau urusan tersebut belum bergerak ke peringkat seterusnya.
Semak nombor urusan, e-mel dan Portal SPA secara berkala.
Tidak.
Status itu merujuk kepada kegagalan memenuhi syarat atau tapisan bagi urusan berkenaan. Ia bukan sekatan terhadap semua permohonan akan datang.
Jika maklumat dalam SPA9 memang salah atau tidak sepadan dengan sijil sebenar, hubungi SPA dan sertakan bukti berkaitan.
Jika keputusan berpunca daripada syarat tapisan urusan, semak jawatan lain yang lebih sesuai dengan kelayakan anda.
Tidak.
Tawaran bergantung pada kekosongan, ranking, kriteria yang diperlukan dan tempoh sah calon simpanan.
Menurut FAQ SPA9, status calon simpanan yang masih dalam tempoh sah tidak terjejas apabila permohonan dikemas kini.
Boleh.
Kegagalan dalam satu urusan tidak menghalang anda memohon jawatan lain atau menyertai urusan baharu, tertakluk pada syarat yang ditetapkan.
Kesimpulan
Maksud status permohonan SPA9 menjadi lebih mudah apabila kita melihatnya mengikut peringkat.
Melepasi syarat bermaksud satu tapisan sudah dilepasi, bukan terus mendapat temu duga.
Tidak melepasi syarat merujuk kepada urusan tertentu, bukan kegagalan untuk selama-lamanya.
Calon simpanan masih mempunyai peluang mengikut ranking dan kekosongan.
Gagal pula perlu dibaca bersama peringkat keputusan, sama ada PSEE, ujian atau temu duga.
Rumusan kami mudah.
Jangan panik apabila status berubah. Baca nama jawatan, nombor urusan dan peringkat keputusan dengan teliti. Kemudian ambil tindakan yang sesuai.
Kongsikan artikel ini kepada kawan yang sedang merenung status SPA9 tetapi masih tidak pasti sama ada patut gembira, menunggu atau mula membuat persediaan semula.