Dah isi SPA9. Dah pilih jawatan. Dah tunggu berbulan-bulan.
Tetapi satu panggilan pun belum masuk.
Sampai satu tahap, mesti terfikir juga:
“Ada masalah ke dengan permohonan aku?”
Jawapan ringkasnya, mendaftar dalam SPA9 tidak bermaksud kita akan dipanggil secara automatik.
Calon masih perlu memenuhi syarat jawatan, melepasi tapisan dan, bagi urusan tertentu, lulus PSEE atau ujian sebelum dipanggil ke peringkat temu duga.
Ada calon yang sebenarnya sudah memenuhi syarat asas, tetapi pengambilan bagi jawatan tersebut belum dijalankan. Ada yang terlepas pandang tarikh sah pendaftaran. Ada pula yang memilih jawatan yang tidak sepadan dengan kelayakan sendiri.
Jadi, sebelum salahkan nasib, mari semak satu per satu perkara yang mungkin sedang berlaku pada permohonan anda.
Mula-mula, Faham Dahulu Bagaimana Calon Dipanggil
Secara ringkas, calon perlu melalui beberapa peringkat sebelum dipanggil ke sesi temu duga.

Ramai calon membayangkan prosesnya begini:
Isi SPA9, tunggu sekejap, kemudian dapat panggilan temu duga.
Sebenarnya ada beberapa peringkat di tengah-tengah.
Secara umum, prosesnya seperti ini:
Daftar SPA9 → melepasi syarat dan tapisan → menduduki PSEE atau ujian jika ditetapkan → lulus penilaian → dipanggil temu duga.
Menurut SPA, hanya calon yang memenuhi syarat serta asas tapisan akan dipanggil menduduki PSEE. Calon yang lulus PSEE atau ujian pula akan dipertimbangkan untuk sesi temu duga.
Sebab itu kita perlu bezakan dua situasi:
- Anda langsung tidak pernah dipanggil menduduki PSEE atau ujian.
- Anda pernah menduduki PSEE atau ujian, tetapi tidak dipanggil temu duga.
Puncanya tidak semestinya sama.
| Keadaan calon | Apa yang mungkin berlaku | Tindakan pertama |
|---|---|---|
| Langsung tiada panggilan | Belum ada urusan, pendaftaran luput atau tidak melepasi tapisan | Semak tarikh sah dan syarat jawatan |
| Pernah dipanggil PSEE tetapi tiada temu duga | Tidak melepasi PSEE atau belum ada penjadualan seterusnya | Semak keputusan dan status urusan |
| Status tidak melepasi syarat | Kelayakan tidak sepadan dengan syarat atau asas tapisan | Semak syarat khusus jawatan |
| Tidak menerima e-mel | E-mel salah atau makluman masuk ke Spam dan Junk | Semak e-mel serta Portal SPA |
1. Pendaftaran SPA9 Anda Sudah Tamat Tempoh
Selepas log masuk, semak status permohonan dan pastikan tempoh pendaftaran anda masih sah. Grafik di bawah ialah paparan contoh untuk menunjukkan maklumat yang perlu diberikan perhatian.

Ini antara perkara pertama yang saya cadangkan calon periksa.
Pendaftaran SPA9 sah selama satu tahun daripada tarikh anda menghantar Perakuan Pemohon.
Jika tempoh tersebut sudah luput, permohonan anda tidak akan diproses sehingga pendaftaran diperbaharui.
Masalahnya, ramai calon masih boleh log masuk seperti biasa lalu menyangka permohonan mereka masih aktif. Boleh masuk ke dalam akaun tidak semestinya bermaksud pendaftaran masih sah.
Log masuk ke Sistem SPA9 dan semak tarikh pendaftaran anda.
Jika sudah tamat tempoh, kemas kini maklumat yang perlu dan hantar semula Perakuan Pemohon.
Jangan tunggu sehingga ternampak iklan jawatan baharu. SPA membenarkan permohonan dibuat pada bila-bila masa sepanjang tahun, tetapi pendaftaran mesti masih sah ketika urusan pengambilan dijalankan.
2. Anda Menekan Hantar Perakuan Terlalu Kerap
Bahagian ini ramai tidak tahu.
Ada calon yang log masuk setiap minggu dan menekan Hantar Perakuan kerana menyangka tindakan itu akan menaikkan semula permohonan mereka.
Macam mahu bagi sistem nampak kita masih aktif.
Jangan buat begitu jika tiada perubahan maklumat.
SPA menjelaskan bahawa setiap kali Perakuan Pemohon dihantar, tarikh pendaftaran akan berubah kepada tarikh terbaharu. Kekerapan mengemas kini permohonan juga boleh menjejaskan urusan pada peringkat tapisan dan menyebabkan permohonan terdahulu terbatal.
Maksud mudahnya, log masuk untuk membuat semakan tidak menjadi masalah. Tetapi jangan tekan Hantar Perakuan tanpa sebab.
Hantar semula hanya apabila anda benar-benar membuat perubahan seperti:
- Menambah kelayakan akademik
- Membetulkan maklumat yang salah
- Menukar pilihan jawatan
- Mengemas kini alamat e-mel atau nombor telefon
- Memperbaharui pendaftaran yang sudah tamat tempoh
Panduan ini turut diterangkan dalam FAQ rasmi permohonan pekerjaan SPA.
3. Jawatan Yang Dipilih Tidak Sesuai Dengan Kelayakan
Pilih jawatan bukan sekadar tengok nama jawatan nampak menarik atau tidak.
Setiap jawatan mempunyai syarat lantikan sendiri.
Ada yang memerlukan bidang pengajian tertentu. Ada yang menetapkan Kepujian Bahasa Melayu. Ada juga yang memerlukan sijil profesional, lesen, ukuran fizikal atau syarat tambahan yang lain.
Kalau kelayakan anda tidak sepadan dengan syarat skim perkhidmatan, permohonan mungkin tidak melepasi tapisan walaupun jawatan tersebut berjaya dimasukkan dalam senarai pilihan.
Permohonan SPA9 juga tertakluk kepada dasar One Step Lower.
Secara ringkas, kelayakan tertinggi calon menentukan gred jawatan yang boleh dimohon. Sebagai contoh, pemegang ijazah tidak semestinya boleh memohon semua jawatan pada peringkat SPM.
Sebelum menukar pilihan, semak syarat permohonan rasmi SPA dan baca syarat khusus bagi setiap jawatan.
Anda juga boleh rujuk panduan kami tentang jawatan kerajaan mengikut kelayakan supaya pilihan SPM, diploma dan ijazah tidak dibuat secara membuta tuli.
4. Anda Memenuhi Syarat Asas, Tetapi Tidak Melepasi Tapisan
Ini bahagian yang selalu mengelirukan calon.
Memenuhi syarat lantikan tidak semestinya bermaksud anda pasti dipanggil.
Syarat lantikan ialah kelayakan asas untuk memohon. Apabila sesuatu urusan pengambilan dijalankan, kementerian, jabatan atau agensi boleh menetapkan asas tapisan mengikut keperluan jawatan dan jumlah calon.
Contohnya, dua orang calon mungkin memiliki ijazah yang sama.
Namun, seorang melepasi tapisan kerana bidang pengajiannya lebih tepat dengan keperluan urusan tersebut, manakala seorang lagi tidak.
Sebab itu status seperti Melepasi Syarat-Syarat Semasa Yang Ditetapkan Oleh Suruhanjaya belum menjadi jaminan anda akan terus menerima panggilan temu duga.
Ia menunjukkan permohonan anda berada pada peringkat tertentu. Ia belum menjadi surat jemputan.
Jika anda selalu keliru dengan ayat yang muncul dalam sistem, baca penerangan maksud status permohonan SPA9.
Jangan cuba meneka maksud status berdasarkan satu tangkapan skrin yang beredar di media sosial sahaja.
5. Belum Ada Urusan Pengambilan Bagi Jawatan Tersebut
Kadang-kadang tiada apa-apa yang salah dengan permohonan anda.
Panggilan hanya berlaku apabila kementerian, jabatan atau agensi mengemukakan keperluan untuk mengisi kekosongan.
Jika belum ada urusan pengambilan bagi jawatan yang anda pilih, tiada calon akan dipanggil untuk jawatan tersebut.
Inilah sebabnya seorang calon boleh menunggu lama untuk satu jawatan, tetapi calon lain menerima panggilan lebih awal bagi jawatan yang berbeza.
Tarikh daftar lebih awal juga tidak semestinya memberikan keutamaan automatik untuk temu duga.
SPA9 membenarkan calon mendaftarkan sehingga 15 pilihan jawatan, termasuk Latihan Separa Perubatan.
Tetapi ini bukan bermaksud anda perlu mengisi kesemua 15 ruang dengan apa sahaja jawatan yang muncul.
Pilih beberapa jawatan yang benar-benar sesuai.
Lebih banyak pilihan yang tepat boleh membuka lebih banyak peluang pengambilan. Lebih banyak pilihan yang tidak berkaitan cuma memenuhi ruang.
6. Anda Tidak Melepasi PSEE Atau Ujian Yang Ditetapkan
Kalau anda pernah dipanggil menduduki PSEE tetapi selepas itu tidak menerima panggilan temu duga, kemungkinan besar anda belum melepasi penilaian bagi urusan tersebut.
Untuk PSEE Psikometrik, SPA menerangkan bahawa penilaian mengukur kesesuaian calon dengan pekerjaan, organisasi dan kerja berpasukan.
Penentuannya bukan berdasarkan satu markah lulus yang sama untuk semua urusan.
Antara perkara yang diambil kira ialah:
- Skor merit calon
- Jumlah kekosongan jawatan
- Bilangan calon yang menduduki PSEE
Jadi, ayat “psikometrik tiada jawapan betul atau salah” tidak bermaksud kita boleh menjawab sesuka hati.
Jawapan masih membentuk gambaran tentang kecenderungan, personaliti, konsistensi dan kesesuaian kita dengan jawatan.
Calon yang akan menghadapi ujian boleh mulakan dengan contoh soalan psikometrik SPA dan fahami cara menjawab psikometrik SPA.
Tujuannya bukan menghafal jawapan.
Tujuannya adalah untuk membiasakan diri dengan bentuk soalan, memahami ciri yang dinilai dan belajar menjawab secara konsisten.
Maklumat tentang kaedah penilaian boleh disemak pada halaman rasmi Penilaian Memasuki Perkhidmatan Awam.
7. Anda Terlepas E-mel Atau Makluman Panggilan
Ada calon yang menunggu e-mel dalam peti masuk utama sahaja.
Rupa-rupanya makluman sudah masuk ke folder Spam atau Junk.
SPA menggunakan beberapa saluran untuk memaklumkan urusan PSEE, ujian dan temu duga. Antaranya:
- Alamat e-mel yang didaftarkan dalam SPA9
- Portal Rasmi SPA
- Facebook rasmi SPA
- Status permohonan dalam akaun SPA9
Pastikan alamat e-mel dalam SPA9 masih aktif dan ejaannya betul.
Semak folder Inbox, Promotions, Social, Spam dan Junk secara berkala. Jika e-mel SPA masuk ke folder Spam, tandakan sebagai Not Spam supaya e-mel seterusnya lebih mudah masuk ke Inbox.
Jangan bergantung pada satu saluran sahaja.
Jadikan halaman Semakan Online SPA sebagai salah satu semakan berkala anda.
Satu Lagi Perkara: SPA9 Bukan Untuk Semua Jawatan Kerajaan
Ini juga penting.
SPA9 tidak menguruskan pengambilan semua jawatan dalam sektor awam.
Sistem ini digunakan bagi urusan pengambilan yang berada di bawah bidang kuasa SPA Malaysia serta pihak berkuasa melantik tertentu.
Bagi perkhidmatan pendidikan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan pentadbiran kerajaan negeri tertentu, calon perlu memohon melalui pihak berkuasa atau portal pengambilan masing-masing.
Jadi, kalau sasaran anda ialah “apa-apa kerja kerajaan”, jangan hanya buka SPA9 dan berhenti di situ.
Kenal pasti dahulu agensi yang menguruskan jawatan tersebut.
Apa Yang Patut Anda Buat Sekarang?
Sebelum menunggu panggilan seterusnya, gunakan checklist ini untuk memastikan perkara asas dalam permohonan anda sudah disemak.

Tak perlu ubah semua benda dalam akaun kerana panik.
Buat semakan dengan tenang mengikut urutan ini:
- Log masuk dan semak tarikh sah pendaftaran SPA9.
- Pastikan maklumat peribadi, akademik dan e-mel adalah tepat.
- Semak syarat khusus bagi setiap jawatan yang dipilih.
- Pastikan pilihan jawatan mematuhi kelayakan dan dasar One Step Lower.
- Buang jawatan yang jelas tidak sesuai dan ganti dengan pilihan yang lebih munasabah.
- Jangan tekan
Hantar Perakuanjika tiada perubahan dibuat. - Semak e-mel, folder Spam, Portal SPA dan status permohonan secara berkala.
- Jika dipanggil PSEE, mula membuat persediaan sebelum hari penilaian.
Jika anda baru pertama kali mendaftar, rujuk panduan cara isi SPA9 dengan betul supaya kesilapan asas tidak terbawa-bawa terlalu lama.
Jangan Ukur Peluang Anda Berdasarkan Orang Lain
Bahagian ini saya rasa ramai calon perlu dengar.
Kawan daftar kemudian tetapi sudah dipanggil. Anda pula sudah dua tahun mencuba tetapi masih senyap.
Memang kecewa. Itu normal.
Namun, urusan pengambilan tidak bergerak mengikut satu barisan yang sama untuk semua jawatan.
Kelayakan, bidang, syarat tapisan, kekosongan, keputusan PSEE dan keperluan jabatan boleh berbeza.
Perkara yang boleh kita kawal ialah ketepatan permohonan, pilihan jawatan dan persediaan apabila peluang sampai.
Daftar sahaja belum cukup.
Tetapi mengemas kini tanpa arah pun bukan strategi.
Semak dengan betul. Pilih dengan sedar. Kemudian bersedia untuk peringkat seterusnya.
FAQ: Soalan Lazim Tentang SPA9 Yang Tidak Dipanggil
Antara sebab yang dinyatakan SPA ialah belum ada urusan pengambilan, pendaftaran telah tamat tempoh, calon tidak memenuhi syarat atau tapisan, dan calon tidak berjaya dalam PSEE atau ujian.
Tidak.
Melepasi syarat asas belum menjamin panggilan. Calon mungkin perlu melepasi asas tapisan dan lulus PSEE atau ujian sebelum dipanggil temu duga.
Pendaftaran SPA9 sah selama satu tahun daripada tarikh Perakuan Pemohon dihantar.
Permohonan yang telah luput tidak akan diproses sehingga diperbaharui.
Tidak.
Jika tiada perubahan maklumat, anda tidak perlu menghantar Perakuan Pemohon setiap kali log masuk. Tindakan terlalu kerap boleh menjejaskan urusan tapisan terdahulu.
Panggilan bergantung pada urusan pengambilan dan proses yang ditetapkan.
Semak penjadualan serta status rasmi dari semasa ke semasa. Apabila menerima panggilan, mulakan persediaan dengan menyemak soalan temuduga SPA yang selalu ditanya.
Kesimpulan
Kalau permohonan SPA9 anda masih belum dipanggil, jangan terus anggap sistem menolak anda secara senyap.
Semak dahulu tempoh sah pendaftaran, syarat jawatan, pilihan yang dibuat, status tapisan dan keputusan PSEE.
Pastikan juga anda tidak terlepas makluman dalam e-mel atau portal rasmi.
Kadang-kadang masalahnya boleh diperbetulkan. Kadang-kadang memang belum ada urusan pengambilan.
Yang penting, jangan tunggu tanpa memahami apa yang sedang ditunggu.
Kongsikan artikel ini kepada kawan yang sudah lama memohon kerja kerajaan tetapi masih tertanya-tanya kenapa SPA9 belum memanggil.
Mungkin satu semakan kecil hari ini boleh mengelakkan mereka daripada terus menunggu dengan maklumat yang salah.