Senarai pengalaman kerja dalam resume
Pengalaman kerja anda adalah aset yang berharga untuk dibawa semasa membuat permohonan kerja yang terbaru. Ia juga menjadi faktor kepada tinggi atau rendah peluang untuk anda merebut jawatan yang ditawarkan. Senarai pengalaman kerja dalam resume anda haruslah disusun secara profesional supaya ia membantu anda memikat pandangan majikan dan memanggil anda untuk hadir temuduga.
Sejauh mana pengalaman anda boleh pergi?
Pengalaman kerja anda termasuklah aktiviti ko-kurikulum semasa belajar di kolej atau universiti dahulu harus disusun mengikut turutan. Ada beberapa persoalan yang perlu anda pertimbangkan iaitu :
- Apakah objektif kerjaya anda?
- Adakah anda mengejar perkembangan profesional atau sekadar bertukar kerja?
- Apakah himpunan pengalaman anda dapat memenuhi objektif kerjaya dan matlamat anda?
Senaraikan pengalaman kerjaya
Himpunkan segala pengalaman kerja yang anda miliki, termasuklah pengalaman berpersatuan, kelab dan sukan yang ada. Susun ikut kronologi kerja yang terbaru dan diikuti kerja yang lepas di dalam sehelai kertas. Ingat kembali tarikh anda mula bekerja, nama syarikat majikan dan lokasinya. Kemudian lihat berapa banyak pengalaman yang anda miliki untuk dimuatkan dalam resume.
Adakah anda seorang yang kerap bertukar-tukar kerja di mana-mana syarikat atau anda seorang yang bekerja lama di sesebuah tempat untuk membina kerjaya? Usah pamerkan anda seorang yang gemar melompat dari satu syarikat kepada syarikat yang lain. Ini akan memberi gambaran yang buruk kepada bakal majikan. Belum sempat diambil kerja, resume sudah dilontar ke bakul sampah.
Resume anda hendaklah ringkas dan padat dengan 2 muka surat sahaja. Senaraikan 5 pekerjaan terbaik yang pernah anda miliki sekiranya anda mempunyai lebih dari 5 pekerjaan terdahulu. Senarai pengalaman kerja anda yang benar-benar berkaitan sahaja. Tampilkan tanggung jawab anda dalam setiap skop kerja dan kaitkan ia dengan keperluan yang bakal majikan anda mahukan.
Jika anda mempunyai kemahiran dan kepakaran tambahan, letakkan di bahagian akhir resume. Pastikan resume anda ditulis dan disusun dengan baik. semak ejaan berulang kali supaya kesilapan ejaan dapat dielakkan dan sekaligus meningkatkan kualiti resume anda. Resume yang terbaik ialah resume yang mampu menjual pengalaman dan kemahiran anda.
Leave a Reply